Isnin, 16 March 2020 | 6:02pm
POLIS berkawal di pekarangan madrasah yang dikuarantin 14 hari. - Foto Zatul Iffah Zolkiply
POLIS berkawal di pekarangan madrasah yang dikuarantin 14 hari. - Foto Zatul Iffah Zolkiply

COVID19: 87 dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 87 penghuni madrasah di Kubung Bujuk dekat sini, dikuarantin selepas disyaki dijangkiti coronavirus (COVID-19).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, semua pesakit ini disahkan berada di bawah pengawasan (PUI) di Hospital Hulu Terengganu (HHT), bermula kelmarin.

“Mereka ini dikuarantin di wad kerana mempunyai kontak rapat dengan seorang ahli tabligh menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Selangor yang singgah di madrasah berkenaan sebelum ini.

“Kes positif kita masih belum dapat pengesanan sebenar dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sudah mengambil langkah sepatutnya seperti menjejaki individu yang mempunyai kaitan supaya kes ini dapat dibendung.

“Namun, setakat ini belum ada kes yang disahkan positif COVID-19 dan orang ramai tidak perlu panik memandangkan keadaan masih terkawal,” katanya pada sidang media berkenaan isu COVID-19 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dr Alias juga berkata, kerajaan negeri turut menyediakan empat pusat kuarantin bagi mengekang penyebaran COVID-19 di negeri ini.

Katanya, empat pusat berkenaan adalah Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dengan 58 katil, HHT di Hulu Terengganu (156 katil), Scout Inn dan Pusat Latihan di Tepoh di daerah Kuala Nerus masing-masing 77 dan 44 katil.

“Setakat ini, hanya HHT diaktifkan bagi menempatkan 87 orang disyaki dijangkiti COVID-19. Sekiranya berlaku pertambahan kes, pihaknya akan mencadangkan beberapa lokasi lain untuk dijadikan pusat kuarantin.

“Ia akan merangkumi semua daerah di Terengganu dan hospital yang dijadikan pusat berkenaan juga akan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Portal NSTP sebelum ini melaporkan sebuah madrasah di daerah ini dikuarantin selama 14 hari bagi mengekang penyebaran virus Covid-19..

Difahamkan, penutupan madrasah didiami lebih 300 orang termasuk pelajat tahfiz, tenaga pengajar dan staf sokongan itu dipercayai ada kaitan dengan kes ahli tabligh singgah di madrasah berkenaan disyaki positif COVID-19 pada pemeriksaan peringkat awal.

Berita Harian X