Isnin, 16 March 2020 | 4:06pm
Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menjadi Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengetahui keputusan ujian COVID-19 dijalaninya, esok. - NSTP/Aizuddin Saad
Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menjadi Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengetahui keputusan ujian COVID-19 dijalaninya, esok. - NSTP/Aizuddin Saad

COVID-19: Gopal Sri Ram dapat keputusan ujian esok

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menjadi Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengetahui keputusan ujian COVID-19 dijalaninya, esok.

Ketika dihubungi BERNAMA, bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, ujian dijalankan oleh pasukan perubatan diketuai Dr Ashween Kaur, di sebuah pusat perubatan di sini, minggu lalu.

“Keputusan akan diketahui esok. Tetapi, saya sihat, saya akan teruskan tugas pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB pada Khamis ini,” katanya.

Khamis lalu, Sri Ram memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar kes perbicaraan 1MDB bahawa beliau diminta menjalani ujian buat kali kedua kerana menjadi kontak rapat dengan dua pesakit dalam siasatan (PUI) bagi COVID-19.

Pada hari sama, perbicaraan dilapangkan selepas mahkamah dimaklumkan oleh peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa iparnya adalah kontak rapat dengan seorang pesakit COVID-19 dan berhubung secara terus dengan Muhammad Shafee pada 12 Mac.

Jumaat lalu, Muhammad Shafee dan pasukan peguam belanya disahkan negatif virus itu.

Hakim Sequerah menetapkan Khamis ini untuk menyambung bicara dengan Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan pihak pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X