Ahad, 15 March 2020 | 9:54am
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT).
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT).

UMT laksana kuliah dalam talian

KUALA NERUS: Proses pembelajaran di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ditukarkan kepada dalam talian atau e-pembelajaran, membabitkan semua pelajar sarjana muda mulai esok.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata langkah itu susulan pengajaran secara bersemuka ditangguhkan selama empat hari mulai esok.

Beliau berkata, aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam makmal atau projek kumpulan kecil diteruskan seperti biasa tanpa mengabaikan langkah kesihatan seperti disarankan Pusat Kesihatan Universiti (PKU).

“Pengurusan UMT sentiasa berusaha mencari pelan kontigensi bagi memastikan urusan pembelajaran dan kemajuan akademik berada pada tahap gangguan terendah, rentetan isu pandemik COVID-19.

“Keselamatan dan kebajikan seluruh warga pelajar adalah satu perkara yang sangat diutamakan pengurusan UMT,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Noor Azuan berkata, perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) juga akan beroperasi seperti biasa.

Jelasnya, pensyarah akan cuba memaksimumkan penggunaan platfom dalam talian e-learn dan menggunakan kaedah zoom iaitu sistem disediakan Pusat Pengurusan Pengetahuan dan Teknologi Komunikasi (PPPTK).

Bagaimanapun, pengurusan UMT akan mengeluarkan notis susulan dari semasa ke semasa terutama keperluan melanjutkan penggunaan kaedah e-pembelajaran sebagai medium pembelajaran dan pengajaran.

Berita Harian X