Ahad, 15 March 2020 | 9:50am
EMPAT Markas Tabligh Di Sabah Ditutup Untuk Pembasmian.- Ihsan Sabah Post
EMPAT Markas Tabligh Di Sabah Ditutup Untuk Pembasmian.- Ihsan Sabah Post

Sabah tutup sementara empat markas tabligh

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menutup sementara empat markas tabligh serta beberapa masjid dan surau dalam usaha membendung penularan COVID-19 di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, dalam satu kenyataan, semalam, berkata empat markas tabligh di Kota Kinabalu, Beaufort, Tawau dan Sandakan itu ditutup bagi melakukan kerja pembasmian kuman.

“Masjid dan surau dikunjungi anggota tabligh yang menghadiri perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu juga hendaklah ditutup sementara bagi melakukan kerja pembasmian kuman.

“Penutupan markas tabligh, masjid dan surau terbabit untuk melakukan kerja pembasmian kuman, hendaklah diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Jabatan Kesihatan Sabah serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ahli tabligh lain yang ada bersentuhan dengan peserta program ijtimak di Kuala Lumpur berkenaan juga diminta segera memaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan.

“Semua ahli tabligh yang ada bersentuhan fizikal secara langsung atau tidak langsung dengan anggota jemaah yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling itu atau ahli keluarga terdekat, diminta tampil dan memaklumkan kepada pegawai perubatan kerajaan dengan segera,” katanya.

Beliau menjelaskan, larangan sementara untuk ahli jemaah tabligh mengadakan perhimpunan di masjid atau surau di seluruh negeri yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, semalam, bertujuan memastikan penularan COVID-19 dapat diminimumkan, sekali gus memelihara kesejahteraan orang ramai.

Berita Harian X