Sabtu, 14 March 2020 | 7:02pm
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

41 kes baharu COVID-19

PUTRAJAYA: Sebanyak 41 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan 37 daripadanya berkait dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, antara 27 Februari hingga 3 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata baki tiga kes adalah kontak rapat kepada kluster kes ke-33 yang dilaporkan sebelum ini, manakala satu kes lagi mempunyai sejarah perjalanan ke Iran.

Katanya, dengan pertambahan sebanyak 41 kes baharu itu, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes.

“Sehingga kini, seramai 203 kes masih dirawat di wad dengan lima daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes-kes ini juga diberikan rawatan anti-viral. Sehingga 14 Mac 2020, sebanyak 1,321 sampel daripada pesakit influenza like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) sudah diuji di IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), semua makmal kesihatan awam dan hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham menasihati orang awam untuk kekal tenang dan mengelak sama sekali untuk menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan perhimpunan tabligh itu demi menjaga keharmonian umum.

Katanya, mereka perlu sentiasa mendapatkan maklumat terkini perkembangan jangkitan COVID-19 daripada kenyataan akhbar dan pengumuman yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak dua kes iaitu kes ke-35 dan kes ke-61 yang disahkan positif COVID-19 sebelum ini sudah pulih dan dibenarkan keluar dari wad Hospital Sungai Buloh.

Katanya, ini menjadikan sebanyak 35 kes sudah pulih sepenuhnya setakat ini dari COVID-19 dan dibenarkan keluar dari wad.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X