Jumaat, 13 March 2020 | 5:52pm
PROFESOR Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - NSTP/Khairull Azry Bidin
PROFESOR Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood. - NSTP/Khairull Azry Bidin

Tiada masalah buka semula kes LTTE

KUALA LUMPUR: Tiada masalah untuk kes dakwaan terhadap 12 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam aktiviti berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang digugurkan sebelum ini, dibuka semula.

Profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata Peguam Negara berhak meneliti semula keputusan berkenaan dan memutuskan sama ada kes itu wajar diteruskan untuk pendakwaan atau sebaliknya.

“Jika sesuatu kes sudah diputuskan di mahkamah, terdapat dua keadaan. Pertama, pesalah dilepas tapi tidak dibebas yang mana pesalah itu boleh dituduh semula dan kedua, pesalah dilepas dan dibebas, yang mana tidak boleh dituduh semula, kecuali keputusan hakim itu dimansuhkan.

“Bagi kes LTTE ini, individu yang didakwa terbabit sudah dituduh di mahkamah, namun belum dibicarakan. Bagaimanapun, Peguam Negara ketika itu tidak meneruskan pertuduhan, maka belum ada keputusan mahkamah mengenainya.

“Justeru, tidak ada masalah jika Peguam Negara mahu meneruskan pertuduhan itu,” katanya kepada BH, hari ini.

Nik Ahmad Kamal berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semalam bahawa beliau akan berbincang dengan pegawai tertinggi kementerian serta polis membabitkan isu pengguguran 34 tuduhan terhadap 12 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam aktiviti (LTTE), sebelum ini.

Pada 21 Februari lalu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong LTTE.

Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bagaimanapun, sehari kemudian, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya masih mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014.

Muhyiddin berkata, beliau memiliki asas kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ia masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Diminta mengulas mengenai tuntutan UMNO, yang antara lain, mendesak kerajaan membuka semula kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Nik Ahmad Kamal berkata, keputusan itu juga terserah kepada Peguam Negara selepas mempertimbangkan pelbagai aspek.

Mengenai tuntutan UMNO supaya penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibatalkan kerana didakwa mengongkong dan mengekang tugas serta tanggungjawab polis, Nik Ahmad Kamal menjelaskan, cadangan penubuhan IPCMC sudah pun mendapat maklum balas umum dan kajian di peringkat Parlimen.

“Jika sudah banyak kajian dilakukan dan mendapati ia meningkatkan integriti dan kebolehpercayaan kepada polis, kenapa ia perlu ditolak? Jika kerajaan rasa ia sesuai dilaksanakan, maka ia perlu dilaksanakan.

“Jika benar ia menjadikan polis tidak lagi bebas, maka kerajaan perlu mencari jalan tengah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, dalam nada sama berkata, hanya Peguam Negara berhak memutuskan sama ada mahu meneruskan kes dakwaan kepada individu yang terbabit LTTE atau sebaliknya.

“Kementerian Dalam Negeri boleh mencadangkan saja, tapi keputusan terletak pada Peguam Negara.

“Jika ada bukti baharu mengenai kes itu, polis perlu mengemukakannya kepada Peguam Negara,” katanya.

Berita Harian X