Jumaat, 13 March 2020 | 5:51pm
Jemaah mengaminkan doa selepas bacaan doa qunut nazilah ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Jemaah mengaminkan doa selepas bacaan doa qunut nazilah ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

COVID-19: Al-Sultan Abdullah bimbang keselamatan, kesihatan rakyat

KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang amat prihatin dan mengikuti perkembangan terkini penularan COVID-19, menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat berikutan peningkatan kes jangkitan virus itu di negara ini.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong menyarankan semua masjid di negara ini mengadakan bacaan doa qunut nazilah ketika solat Subuh dan solat Jumaat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat daripada virus berkenaan.

Baginda yang menitahkan semua masjid memendekkan khutbah Jumaat sebagai langkah mencegah jangkitan COVID-19, turut menasihatkan pengurusan masjid menyediakan alat pengimbas suhu, cecair pembasmi kuman pada tangan serta penutup mulut dan hidung.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka juga menasihatkan umat Islam berwuduk di rumah sebelum ke masjid dan individu yang ada gejala COVID-19, tidak menghadiri solat Jumaat seperti saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Baginda turut meminta peserta ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menghubungi Pejabat Kesihatan daerah bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

“Seri Paduka juga menggesa rakyat menangguhkan perhimpunan yang membabitkan orang ramai sebagaimana saranan KKM. Rakyat yang mengalami gejala COVID-19 dinasihatkan tidak menghadiri program yang membabitkan orang ramai atau tempat yang padat,” katanya.

Al-Sultan Abdullah, katanya, meminta rakyat menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) jika ada sebarang keraguan, pertanyaan dan untuk mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh mencetuskan panik.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan serta pemantauan berterusan oleh KKM dan agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berkesan.

Baginda turut menasihatkan rakyat supaya mematuhi panduan kebersihan dan kesihatan diri serta langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM bagi mengelakkan penularan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X