Jumaat, 13 March 2020 | 2:21pm
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto NSTP
Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. - Foto NSTP

Keputusan ujian COVID-19 Muhammad Shafee hari ini atau esok

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan mengetahui keputusan ujian COVID-19 yang dijalaninya, sama ada hari ini atau esok.

Peguam utama perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu menjalani ujian COVID-19 semalam berikutan salah seorang ahli keluarganya adalah kontak rapat dengan individu disahkan positif jangkitan itu.

Peguam Noor Farhah Mustaffa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Muhammad Shafee dan isterinya, Tania Scivetti menjalani ujian berkenaan semalam di Hopital KPJ Damansara, dan keputusan akan diperoleh sama ada hari ini atau esok.

Noor Farhah berkata, dalam tempoh itu Muhammad Shafee dinasihatkan untuk dikuarantin.

Dokumen mengenai ujian yang dijalani oleh Muhammad Shafee itu dikemukakan Noor Farhah kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Surat itu turut menyatakan bahawa keseluruhan peguam bela yang mewakili Najib dalam kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menjalani tempoh kuarantin sendiri sehingga keputusan ujian Muhammad Shafee diperoleh.

Peguam itu turut mengemukakan dokumen perintah isolasi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada salah seorang ahli keluarga Muhammad Shafee yang mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif COVID-19.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudian memutuskan bahawa perbicaraan kes bersambung Khamis depan jika ujian ke atas Muhammad Shafee diputuskan negatif.

Keputusan itu turut tertakluk kepada peguam dalam pasukan pembelaan yang lain.

Dalam prosiding semalam, Mahkamah Tinggi melapangkan perbicaraan kes 1MDB selepas mahkamah diberitahu, salah seorang keluarga Muhammad Shafee mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19.

Pada prosiding itu, mahkamah diberitahu bahawa seluruh pasukan pembelaan 1MDB melakukan kuarantin sendiri selepas menghadiri majlis kenduri yang dihoskan Muhammad Shafee di rumahnya pada 7 Mac lalu.

Perbicaraan 1MDB akan bersambung dengan Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan kesembilan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berdepan empat tuduhan iaitu menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X