Jumaat, 13 March 2020 | 2:01pm
Pengerusi Jawatan Kuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew. - NSTP
Pengerusi Jawatan Kuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew. - NSTP

'Jangan ganggu kami!'

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Harapan (PH) meminta mereka tidak diganggu termasuk ditawarkan jawatan tertentu jika bersetuju menukar sokongan mereka.

Pengerusi Jawatan Kuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew, berkata pimpinan parti politik terutamanya pembangkang di Kedah perlu menghormati barisan EXCO sedia ada bagi membawa pembangunan berterusan.

“Sudahlah Kedah antara negeri miskin, jika main tukar-tukar pimpinan kerajaan negeri, bagaimana kita hendak majukan negeri.

“Jadi jangan kacau kami kata nak tukar dan sebagainya, memang tak patut kami diganggu. Tunggu sehingga Pilihan Raya Umun (PRU) seterusnya baru kita ‘berperang’ kembali,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Kok Yew yang juga Pengerusi DAP Kedah berkata, pihaknya tidak gentar menjadi pembangkang, namun mereka patut diberi peluang membawa agenda rakyat selepas diberikan mandat pada PRU-14.

“Kita akan terus pertahan mandat rakyat, walaupun tempoh dua tahun ini amat sukar bagi kami sebagai pemimpin.

“Saya rasa semua ADUN di Kedah berjiwa rakyat dan hormatilah pimpinan ini. PAS sendiri tahu kerana mereka pernah memerintah Kedah dan apa mereka mampu dan sudah buat dalam tempoh lima tahun itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata semua wakil rakyat parti itu sudah berikrar memberi sokongan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

“Tidak ada sesiapa mahu lompat parti, semalam saya hadir mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang dipengerusikan Mukhriz.

“Beliau tidak beritahu apa pun, kalau mahu berlaku perubahan, tentu beliau akan maklumkan kami,” katanya.

  • Lagi berita mengenai Kabinet 2020

  • Berita Harian X