Jumaat, 13 March 2020 | 11:02am
JAIS menetapkan aktiviti tabligh di semua masjid dan surau seluruh Selangor ditangguhkan sementara, berkuatkuasa serta merta. - Foto NSTP
JAIS menetapkan aktiviti tabligh di semua masjid dan surau seluruh Selangor ditangguhkan sementara, berkuatkuasa serta merta. - Foto NSTP

COVID-19: JAIS arah tangguh aktiviti tabligh di masjid, surau seluruh Selangor

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan aktiviti tabligh di semua masjid dan surau seluruh negeri ini ditangguhkan sementara, berkuatkuasa serta merta.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata penangguhan berkenaan dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

“Peningkatan jangkitan COVID-19 serba sedikit menimbulkan kegusaran orang awam. Justeru, sebagai usaha dan ikhtiar bagi mengawal dan mengurangkan risiko jangkitan, JAIS mengambil langkah menangguhkan aktiviti tabligh di semua masjid serta surau di Selangor.

“Penangguhan berkenaan adalah untuk tempoh sementara sehingga keadaan reda,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, penganjuran program yang membabitkan orang awam seperti kuliah, ceramah, majlis pernikahan masih boleh diteruskan dengan mengambil langkah- langkah pencegahan dan kawalan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

Katanya, masyarakat juga perlu mengambil langkah pencegahan dengan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman.

“Jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dari individu yang mempunyai gejala demam, batuk dan bersin selain mengenakan topeng muka bagi yang tidak sihat. Pastikan premis sentiasa bersih dan bebas kuman, kerap mengelap permukaan dan alatan dengan bahan pembasmi kuman,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X