Khamis, 12 March 2020 | 6:31pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sungai Buloh. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Sungai Buloh. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

COVID-19: Malaysia berada pada tahap awal penularan

SUNGAI BULOH: Malaysia masih lagi berada pada tahap awal jangkitan COVID-19 walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai pandemik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata justeru negara tidak perlu membuat pengisytiharan berada pada zon oren seperti dilakukan Singapura.

Bagaimanapun, katanya Kementerian Kesihatan mengambil maklum perkara itu dan meningkatkan lagi kesiapsiagaan dalam menghadapi wabak berkenaan.

"Malah, kesiapsiagaan kita berada pada tahap yang tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes yang mendadak.

"Seperti sudah diumumkan sebelum ini, Hospital Sungai Buloh menjadi hospital khusus jangkitan penyakit dan mempunyai 772 katil serta kemudahan dan kakitangan yang mencukupi jika kes terus meningkat," katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Sungai Buloh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Rohaizat Yon.

Semalam, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata COVID-19 kini memasuki fasa pandemik, sekali gus menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk adalah sangat membimbangkan.

Secara umum, pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X