X
Khamis, 12 March 2020 | 11:47am
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat bersama 37 timbalan menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat bersama 37 timbalan menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - Foto BERNAMA

PM hantar isyarat 'masa mula kerja'

KUALA LUMPUR: Tanpa menunggu lama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menghantar isyarat ‘masa untuk memulakan kerja’ kepada pasukan Kabinetnya dengan menggariskan beberapa visi utama untuk dicapai.

Muhyiddin hampir seharian bermesyuarat bersama 31 menteri dan 37 timbalannya di pusat pentadbiran Putrajaya, kurang 24 jam selepas Jemaah Menterinya mengangkat sumpah jawatan, kelmarin.

Bermula jam 9.25 pagi, Perdana Menteri ke-8 itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet sulungnya di Perdana Putra, disusuli sidang media sebelum diikuti mesyuarat bersama timbalan menterinya pada jam 2.45 petang.

Pada sidang media sulungnya yang ditunggu-tunggu wartawan tempatan dan asing, Muhyiddin tampil menggariskan beberapa keputusan penting kerajaan dalam mesyuarat Kabinet di tengah-tengah kemelut yang masih mendepani negara, antaranya kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40, langkah menangani penyebaran COVID-19 dan krisis harga minyak dunia.

Beliau mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebagai langkah segera mendepani cabaran ekonomi semasa.

Kementerian Kewangan juga dipertanggungjawabkan bagi meneliti semula pakej rangsangan ekonomi untuk dibentang semula dalam tempoh seminggu dua yang akan datang.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri interim ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion.

EAC yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri akan bersidang setiap Isnin dengan mesyuarat pertamanya pada 16 Mac ini. Beberapa tokoh berwibawa akan dibawa menganggotai EAC, termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, selain beberapa menteri berkaitan.

“Semua jemaah menteri sedar, terutama dalam situasi ekonomi meruncing dengan harga minyak yang turun ke paras AS$30 satu tong, penurunan 31 peratus sudah tentunya akan memberi kesan kepada sumber dana kerajaan.

“Ini dibeban lagi dengan COVID-19 yang berlarutan selama beberapa minggu dan memberi impak amat besar kepada ekonomi negara,” tegas Perdana Menteri.

Untuk itu, Muhyiddin berkata, kerajaan baharu pimpinannya akan membuat ‘tawaran baharu’ yang lebih bermanfaat kepada rakyat, selain kumpulan tertentu termasuk pelabur, melalui cadangan dikemukakan kementerian dan jabatan.

Langkah diumumkan Perdana Menteri itu selari perkembangan semasa yang menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk menerusi keadaan luar biasa tanpa manifesto khusus.

“Rakyat dan pelabur asing ingin tahu apakah sebenarnya dasar Kerajaan PN yang kita bentuk ini. Disebabkan kita tiada manifesto, maka kita putuskan setiap kementerian dan jabatan memberi cadangan perkara apakah yang akan menjadi keutamaan.

“Pastinya ia boleh dilakukan dan memberi manfaat dan faedah segera kepada kumpulan tertentu. Apabila perkara ini disiapkan, kita akan maklumkan kepada rakyat apa yang terkandung di dalam Kerajaan PN,” katanya.

Muhyiddin turut ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula Belanjawan 2020 berikutan trend penurunan harga minyak mentah global.

“Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) diarah menelitinya dalam mesyuarat EAC minggu depan, untuk melihat apakah situasi kewangan negara yang pastinya sudah dan makin terjejas.

“Oleh itu, sama ada pengubahsuaian belanjawan itu perlu atau tidak, saya akan tunggu laporan Menteri Kewangan,” katanya.

Mengulangi jaminan Kabinet yang dibentuk menerusi PN adalah ‘yang berfungsi dan berkhidmat’ untuk semua rakyat, Muhyiddin menegaskan, bagi memastikan mereka bekerja berlandaskan integriti tinggi, semua jemaah menteri dikehendaki mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh sebulan.

Menyedari kerugian tahunan sektor pelancongan akibat COVID-19 boleh mencecah RM51 bilion, Muhyiddin mengarahkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangka pelan memacu semula industri itu dan perancangannya dibentangkan kepada Kabinet dalam waktu terdekat.

Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan beliau memotong gajinya antara lima hingga 10 peratus bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Pada sidang media itu, Muhyiddin turut menjelaskan hierarki kepemimpinan kerajaannya selepas tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri dan melantik empat menteri kanan.

Katanya, kedudukan semua empat menteri kanan adalah setaraf, namun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet semasa ketiadaannya di dalam negara.

“Jika saya tiada, Azmin akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet. Jika Azmin tiada, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan mempengerusikannya,” katanya.

Komitmen ditunjukkan kerajaan baharu jelas menarik perhatian pemerhati politik dan penganalisis ekonomi yang menyifatkan sebagai hala tuju jelas terhadap pengukuhan ekonomi negara.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penubuhan EAC bagi merangka pelan mendepani cabaran ekonomi negara susulan penularan COVID-19 adalah tindakan bijak dan mempunyai kewajaran tersendiri.

“Ketika krisis kewangan Asia pada 1997, kita menggunakan mekanisme sama dan ia terbukti berkesan,” katanya sambil mengesyorkan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Berhubung semakan semula pakej rangsangan ekonomi susulan COVID-19, Ahmed Razman berpendapat isu utama ialah bagaimana kerajaan hendak mencari dana akibat kejatuhan harga minyak sehingga menjejaskan potensi pendapatan negara.

Selain itu, katanya, fokus pakej ini juga harus diperkukuhkan dalam memastikan rakyat tidak hilang pekerjaan dan mengelak ada syarikat gulung tikar.

“Wang ihsan RM1 juta diumum Perdana Menteri juga adalah langkah awal kerajaan kerana Singapura turut melakukan inisiatif sama dan rakyat yang terjejas memang amat memerlukannya.

“Saya bersetuju setiap kementerian harus mengemukakan pelan pembangunan untuk pemegang taruh masing-masing,” katanya.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin turut sependapat bahawa perkara terpenting ketika ini adalah pakej rangsangan ekonomi yang efektif.

Ketika ini hampir semua negara bukan sahaja berdepan dengan krisis ekonomi disebabkan penularan COVID-19, malah turut diburukkan lagi dengan kejatuhan harga minyak mentah akibat perang harga negara pengeluar minyak dunia, Arab Saudi dan Russia.

“Pakej rangsangan ekonomi diumumkan kerajaan lalu perlu diteruskan, ditambah dan diubahsuai dengan mengambil kira kesan gelombang kedua COVID-19 kepada ekonomi Malaysia serta kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia.

“Jumlah pakej rangsangan yang diubahsuai boleh dilipat gandakan pada kadar RM15 hingga RM20 bilion.

“Pengumuman Perdana Menteri sudah semestinya wajar dan tepat pada masanya, jika kita melihat konteks ekonomi semasa negara dan meletakkan kemelut politik di sisi lain buat seketika,” katanya.

Beliau turut bersetuju tumpuan diberi terhadap golongan B40 dengan digariskan strategi yang berbentuk secara langsung dan bukannya secara tidak langsung.

Dalam konteks himpitan ekonomi semasa ketika Malaysia berada pada ambang kemelesetan ekonomi dengan prospek pertumbuhan dan hasil yang agak merudum, beliau yakin pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga satu tindakan bijak kerajaan.

“Rakyat sudah pun sedar bahawa GST bukanlah punca utama terhadap peningkatan kos sara hidup dialami ketika ini,” katanya.

Bagi penganalisis politik dan geostrategis, Azmi Hassan, langkah tuntas kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas (EAC) untuk mengharungi kemelut ekonomi adalah langkah tepat supaya setiap isu yang membelenggu pertumbuhan negara berupaya ditangani secara menyeluruh.

“Manifesto tidak begitu kritikal ketika ini kerana ungkapan itu mempunyai konotasi yang agak negatif, malah dipandang sebagai ‘gula-gula’ menerusi kaca mata rakyat, sebaliknya visi kerajaan adalah lebih penting untuk memakmurkan rakyat dan negara.

“Agenda dan strategi kementerian mesti berpandukan visi membantu rakyat. Tidak keterlaluan jika masih memerlukan manifesto sebagai panduan, tetapi dokumen digunakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini boleh diambil kerana ia dianggap strategi yang mampu dilaksanakan.

“Namun hakikatnya, rakyat tidak teruja lagi dengan janji manifesto, tetapi lebih utamakan apakah langkah kerajaan dan kandungannya untuk membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi.

“Malaysia berdepan risiko kerana masih meletakkan kebergantungan terhadap hasil minyak pada kadar 33 peratus, sekali gus terdedah kepada impak kejatuhan harga sumber asli itu di pasaran dunia ketika ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai Kabinet 2020

  • Berita Harian X