X
Rabu, 11 March 2020 | 6:42pm
Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan lalu perlu diteruskan, ditambah, dan diubahsuai dengan mengambil kira kesan gelombang kedua COVID-19 kepada ekonomi Malaysia. - Foto hiasan
Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan lalu perlu diteruskan, ditambah, dan diubahsuai dengan mengambil kira kesan gelombang kedua COVID-19 kepada ekonomi Malaysia. - Foto hiasan

Hala tuju kerajaan perlu dilaksana segera

KUALA LUMPUR: Hala tuju pengukuhan ekonomi negara dalam mendepani cabaran semasa yang diumumkan kerajaan selepas mesyuarat pertama Kabinet hari ini, disifatkan wajar dan perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata semua yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu mempunyai kewajarannya tersendiri.

Beliau berkata, penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bagi merangka pelan mendepani cabaran ekonomi negara, susulan penularan wabak COVID-19 yang berlarutan adalah sesuatu yang perlu.

“Ini kerana semasa krisis kewangan Asia pada 1997, kita menggunakan mekanisme yang sama dan ia terbukti berkesan.

“Semakan semula pakej rangsangan ekonomi juga perlu kerana isunya adalah di mana kerajaan hendak mencari dana kerana kejatuhan harga minyak menjejaskan potensi pendapatan negara.

“Selain itu, fokus di dalam pakej ini juga harus diperkukuhkan dalam memastikan rakyat tidak hilang pekerjaan dan syarikat tidak gulung tikar.

“Wang ihsan sebanyak RM1 juta juga adalah langkah awal kerajaan kerana Singapura juga melakukan inisiatif yang sama dan rakyat yang terjejas memang amat memerlukannya.

“Saya juga bersetuju bahawa setiap kementerian harus mengemukakan pelan pembangunan untuk pemegang taruh masing-masing,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama di Perdana Putra semalam, menggariskan beberapa hala tuju bagi meningkat keyakinan pelabur, kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 dan langkah dalam menangani penyebaran COVID-19 yang banyak menggugat ekonomi negara.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata perkara terpenting ketika ini adalah pakej rangsangan ekonomi kerana ketika ini kesemua negara bukan saja berhadapan dengan krisis ekonomi disebabkan penularan COVID-19, tetapi ia turut diburukkan lagi dengan kejatuhan harga minyak mentah.

Beliau berkata, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan lalu perlu diteruskan, ditambah, dan diubahsuai dengan mengambil kira kesan gelombang kedua COVID-19 kepada ekonomi Malaysia serta kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia.

Dalam konteks ini katanya, jumlah pakej rangsangan yang telah diubahsuai boleh dilipat ganda pada kadar sekitar RM15 hingga RM20 Bilion.

“Pengumuman Perdana Menteri itu sudah semestinya wajar dan tepat pada masanya, jika kita melihat kepada konteks ekonomi negara dan meletakkan kemelut politik di sisi lain buat seketika.

“Ini membolehkan isu ekonomi ditumpukan secara bersama oleh semua kementerian yang terbabit melalui EAC ini.

“Penumpuan terhadap golongan B40 adalah wajar, dan diharapkan adanya strategi-strategi yang berbentuk secara langsung (direct) dan bukannya secara tidak langsung (indirect) kepada mereka,” katanya.

Irwan berkata, dalam situasi ketika ini, di mana ekonomi Malaysia sudah berada di ambang kemelesetan ekonomi dengan prospek pertumbuhan dan hasil yang agak merudum, pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) juga satu tindakan yang bijak oleh kerajaan.

Beliau berkata, rakyat juga sudah pun sedar bahawa GST bukanlah punca utama terhadap peningkatan kos sara hidup yang dialami ketika ini.

Berita Harian X