Rabu, 11 March 2020 | 6:29pm
Pentadbiran Kedah dijangka bertukar tangan dalam tempoh terdekat. - Arkib NSTP
Pentadbiran Kedah dijangka bertukar tangan dalam tempoh terdekat. - Arkib NSTP

Pentadbiran Mukhriz dijangka tumbang

SUNGAI PETANI: Pentadbiran Kedah dijangka bertukar tangan dalam tempoh terdekat, berikutan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH) dijangka menyokong pembentukan kerajaan negeri oleh Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa ketika ini, kerajaan negeri gabungan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tidak lagi kukuh.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, menjelaskan beberapa ADUN negeri dijangka mengumumkan sokongan kepada PN, sekali gus menyebabkan pertukaran kerajaan negeri tidak dapat dielakkan lagi.

“Saya yakin akan berlaku pergeseran (dalam kerajaan negeri), bergantung kepada mereka sendiri (ADUN), mereka yang berhak buat keputusan.

“PAS Kedah ambil sikap bahawa durian suatu hari akan luruh dan yang luruh itu kita akan kawan,” katanya secara simbolik menggambarkan situasi terkini pentadbiran kerajaan negeri Kedah, ketika ditemui di Pasar Bisik Kuala Muda, di sini, hari ini.

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto Sharul Hafiz Zam
KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto Sharul Hafiz Zam

Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), BERSATU (6), AMANAH (4), DAP (2) dan UMNO (2).

Sanusi berkata, sekiranya beberapa ADUN terbabit tidak mengumumkan sokongan masing-masing, pihaknya tetap menjangkakan perubahan kerajaan negeri tetap akan berlaku.

“Ia bergantung kepada pergerakan (politik) yang sedang berlaku ketika ini, pergerakan yang berlaku di Pusat dan negeri tidak sama.

“Bagaimanapun, setakat ini kita belum ada perbincangan dengan ADUN berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Sanusi menafikan PAS sudah mengemukakan namanya sebagai calon Menteri Besar menggantikan Mukhriz.

“Setakat ini tiada senarai calon Menteri Besar dikeluarkan, kita tiada masalah sesiapa pun yang dipilih, tiada perebutan jawatan dalam PAS.

“Sekiranya dipilih, saya bersedia, apabila kita cebur diri dalam politik kita bersedia menghadapi apa sahaja cabaran mendatang,” katanya.

Berita Harian X