Rabu, 11 March 2020 | 5:29pm
Mohd Radzi mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama bertugas di Kementerian Pendidikan, hari ini.
Mohd Radzi mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama bertugas di Kementerian Pendidikan, hari ini.

Cari kaedah terbaik untuk pelajar - Mohd Radzi

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, mahu mendalami dan memahami isu berkaitan pendidikan sebelum membuat perancangan hala tuju kementeriannya dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.

Menteri Kanan dalam Kabinet itu yang memulakan tugas secara rasmi, hari ini, akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian segera.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah memahami dan mendalami konteks, situasi, isu serta perkara perlu ditangani dan keutamaan yang kita ingin tekankan terlebih dahulu,” katanya kepada media ketika melapor diri di kementerian itu, di sini.

Ketibaan Mohd Radzi disambut oleh Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Mohd Gazali Abas, dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Ditanya mengenai isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tulisan jawi serta Program Sarapan Pagi pula, Mohd Radzi berkata, beliau memerlukan masa untuk memahami perkara terbabit.

“Izinkan saya tengok dulu. Dalam keadaan pelbagai isu, apa yang penting ialah kita pandang ke depan dan mencari kaedah terbaik boleh dilakukan untuk anak-anak kita,” katanya.

Katanya, beliau sedar bahawa harapan rakyat cukup tinggi untuk melihat sistem pendidikan negara diangkat ke peringkat lebih tinggi, dan KPM akan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat itu.

“Melihat generasi masa depan negara memiliki kepakaran dan kebolehan dalam pelbagai aspek, bukan saja pendidikan (tetapi juga) dari segi sahsiah serta pemikiran, itu antara harapan ibu bapa,” katanya.

Mohd Radzi yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, melihat amanah besar diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepadanya selaku Menteri Kanan adalah untuk melonjakkan pendidikan negara ke peringkat lebih tinggi. – BERNAMA

Berita Harian X