Selasa, 10 March 2020 | 7:45pm
ADUN Buntong, A Sivasubramaniam (kiri) dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong. - Foto NSTP
ADUN Buntong, A Sivasubramaniam (kiri) dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong. - Foto NSTP

Memang ada rancangan jatuhkan MB Perak - Bekas ADUN DAP

IPOH: Dua bekas pemimpin DAP hari ini mendakwa wujud rancangan parti itu menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar dan kerajaan negeri ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong mendakwa rancangan itu sudah lama dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa DAP Perak.

Sivasubramaniam adalah bekas Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak, manakala Choo Kiong adalah bekas Bendahari DAP Perak.

Berikutan itu, kedua-duanya memberi amaran kepada kepemimpinan DAP supaya berhenti menuduh mereka sebagai katak dan pengkhianat berikutan tindakan mereka keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

“Saya hendak beritahu kepada seluruh rakyat Perak rancangan untuk menjatuhkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar sudah lama dibincangkan dalam jawatankuasa DAP Perak.

“Mereka memang mahu menjatuhkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, setiap kali jawatankuasa bermesyuarat inilah yang dibincangkan oleh Pengerusi DAP Perak,” kata Sivasubramaniam pada sidang media di sini, hari ini.

Sivasubramaniam berkata, hasrat mereka adalah untuk meletakkan seorang ADUN DAP berbangsa Melayu sebagai Menteri Besar.

“Saya ada bukti dan ramai lagi ahli jawatankuasa boleh menjadi saksi, jadi hasrat mereka memang sudah ada, mahu menjatuhkan Menteri Besar dan menggulingkan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya tohmahan terhadap mereka berterusan.

Sementara itu, Choo Kiong berkata, pihaknya turut menggesa Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham menghentikan tindakan memberi gambaran palsu bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat tindakan keluar parti oleh mereka berdua.

Berita Harian X