Selasa, 10 March 2020 | 11:55am
PERSATUAN Agensi Pelancongan dan Umrah (PAPUH).
PERSATUAN Agensi Pelancongan dan Umrah (PAPUH).

26 jemaah Malaysia gagal tunai umrah pulang hari ini

KUALA LUMPUR: Seramai 26 rakyat Malaysia yang gagal menunaikan umrah, dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 3 petang ini.

Sumber dari Persatuan Agensi Pelancongan dan Umrah (PAPUH) berkata, jemaah terbabit bertolak dari Jeddah menaiki pesawat Saudi Airlines SV834.

“Kumpulan ini adalah jemaah terakhir dibenarkan pulang selepas gagal menunaikan umrah apabila dilarang memasuki Makkah susulan larangan kerajaan Arab Saudi bagi mencegah penularan COVID19.

“Jemaah terbabit sebelum ini hanya dibenarkan memasuki Madinah. Kami difahamkan, mereka adalah jemaah yang pergi menerusi syarikat pengendali umrah.

“Baki yang masih berada di sana mungkin memasuki Arab Saudi tanpa menggunakan ejen umrah dan mungkin menggunakan visa pelancong atau visa lain,” katanya kepada BH, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan kira-kira 250 jemaah Malaysia masih berada di Arab Saudi khususnya di Makkah dan difahamkan pihak muassasah sedang menguruskan penghantaran pulang.

Ahad lalu, Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi, Alauddin Mohd Nor, berkata baki jemaah umrah dari Malaysia dijadualkan pulang di antara 9 hingga 15 Mac ini.

Ia disebabkan ada di antara mereka menggunakan visa pelancong iaitu datang ke Arab Saudi secara individu dan tanpa menggunakan ejen.

Rabu lalu kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan larangan mengerjakan umrah termasuk bagi rakyatnya, selain menyekat ziarah ke Masjid Nabawi.

Berita Harian X