Isnin, 9 March 2020 | 1:12pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin.

Dr Norlela ganti Afif sebagai EXCO Pulau Pinang

GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr Norlela Ariffin, dilantik menggantikan Dr Afif Bahardin sebagai EXCO Negeri Pulau Pinang.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menjelaskan Norlela adalah satu-satunya nama yang diketengahkan kepemimpinan PKR di negeri berkenaan untuk mengambil alih kedudukan Dr Afif.

Sehubungan itu, Kon Yeow berkata ADUN Penanti berkenaan dipilih untuk menyandang jawatan EXCO Pertanian, Industri Berteraskan Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.

“Majlis angkat sumpah akan diadakan di Seri Mutiara pada 12 Mac ini,” katanya pada sidang media di KOMTAR di sini, hari ini.

Dr Afif yang juga ADUN Seberang Jaya daripada PKR, meletak jawatan sebagai EXCO Kesihatan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 4 Mac lalu, selepas mengekalkan pendirian untuk terus berada dalam parti dan komited kepada Pakatan Harapan (PH), pasca mendapat mandat rakyat Negeri Pulau Mutiara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Percaturan oleh Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu dikatakan dibuat susulan perbincangan dengan Kon Yeow, selain mendedahkan berdepan tekanan daripada pelbagai pihak untuk melepaskan jawatan berikutan polemik politik membabitkan pecahan parti dalam PH.

Norlela ketika dihubungi NST mengakui terkejut dengan keputusan pelantikan itu kerana mesyuarat peringkat parti yang diadakan Jumaat lalu langsung tidak membincangkan mengenai percaturan jawatan sedemikian.

“Bagaimanapun, terima kasih kepada semua yang memberikan peluang dan kepercayaan kepada saya untuk menggalas jawatan EXCO Negeri Pulau Pinang ini,” katanya.

Selepas pengumuman pelantikan itu, Norlela mendedahkan ada berbincang dengan Ketua Menteri berhubung portfolio yang akan digalas di peringkat kerajaan negeri, malah menyifatkan komponen tanggungjawab jawatan EXCO berkenaan adalah bukan sesuatu yang asing.

Katanya, hal itu kerana aspek berkaitan pertanian dan industri berteraskan pertanian, selain pembangunan luar bandar sering dijadikan sandaran utama ketika menjalankan tugas sebagai ADUN.

“Saya juga pernah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam pelbagai perkara sebelum ini, daripada ujian pemakanan sehinggalah metadon, justeru saya bersedia untuk memikul amanah yang diberikan sebaiknya,” katanya.

Berita Harian X