Ahad, 8 March 2020 | 1:27pm
Kerajaan belum bercadang membawa pulang kira-kira 20,000 rakyat Malaysia dari China khususnya di Hubei, susulan penularan COVID-19.
Kerajaan belum bercadang membawa pulang kira-kira 20,000 rakyat Malaysia dari China khususnya di Hubei, susulan penularan COVID-19.
Pada 26 Februari lalu, pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak mereka dari Wuhan, China, tiba di KLIA, pada jam 6.45 pagi.
Pada 26 Februari lalu, pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak mereka dari Wuhan, China, tiba di KLIA, pada jam 6.45 pagi.

20,000 rakyat Malaysia kekal di China

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang membawa pulang kira-kira 20,000 rakyat Malaysia dari China khususnya di Hubei, susulan penularan COVID-19.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin, berkata pendirian kerajaan itu selari dengan perkembangan terkini termasuk laporan tiada rakyat Malaysia di China disahkan positif COVID-19.

“Kita juga tidak mendapat permintaan daripada rakyat Malaysia di sana (China) untuk dibawa pulang.

“Setakat ini semua terkawal. Kami ada buat kumpulan di laman sembang untuk sentiasa berkomunikasi selain mendapatkan maklumat berkaitan bantuan dan keperluan mereka di sana,” katanya pada BH, hari ini.

Pada 26 Februari lalu, pesawat khas misi kedua membawa pulang rakyat Malaysia, pasangan dan anak mereka dari Wuhan, China, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 6.45 pagi.

Seramai 66 orang membabitkan 46 rakyat Malaysia dan 20 tanggungan (pasangan/anak) mereka yang bukan warga negara dibawa pulang melalui penerbangan khas.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan Malaysia membawa pulang 107 rakyat Malaysia yang terkandas di wilayah Hubei melalui misi pertama.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Farhan Sufyan Borhan, berkata pihaknya juga tidak berhasrat mengadakan misi ketiga bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari China.

“Setakat ini, tiada keperluan dan permintaan daripada mana-mana pihak untuk NADMA mengadakan misi itu.

“Perkara ini juga tidak berbangkit dalam mesyuarat antara pihak NADMA dan KSN (Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali) Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, kita sentiasa berhubung dengan agensi dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengetahui situasi semasa,” katanya.

Berita Harian X