X
Sabtu, 7 March 2020 | 4:05pm

'Tiada apa nak disembunyi, kami tak buat salah'

KUALA LUMPUR: Pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berdepan sebarang tekanan, selain tiada keperluan untuk tunduk terhadap gesaan melepaskan jawatan, berikutan perubahan tampuk pentadbiran negara.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata keputusan untuk mengundurkan diri hanya akan dipertimbangkan sekiranya Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menitahkan pengosongan jawatan kepemimpinan SPR.

Katanya pelantikan pengerusi dan ahli suruhanjaya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas dinasihati Perdana Menteri serta menjalani proses rundingan dengan Majlis Raja-Raja.

“Mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tempoh perkhidmatan adalah sah sehingga berusia 66 tahun, namun tempoh ini mungkin dapat disingkatkan jika saya dihadapkan ke tribunal kerana melakukan kesalahan ketika menjalankan tugas.

“Selain itu, sekiranya Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar jawatan ini dikosongkan, maka saya akan menurut perintah Tuanku. Ini adalah kerana pelantikan saya dan ahli lain dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Sebenarnya tiada tekanan langsung (untuk melepaskan jawatan) kerana saya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas baginda dinasihati bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan mengadakan rundingan bersama Majlis Raja-Raja.

“Jadi, saya tidak faham kenapa orang awam yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pelantikan saya (sebagai Pengerusi SPR) mendesak supaya meletakkan jawatan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, kelmarin dilaporkan menggesa Azhar dan ahli SPR meletakkan jawatan susulan perubahan pentadbiran kerajaan, selain bagi membolehkan suruhanjaya berfungsi sebagai sebuah badan perlembagaan yang bebas dan berkecuali.

Wan Ahmad mendakwa latar belakang mereka sebagai aktivis politik ketika di luar SPR sebelum ini, jelas mencerminkan sikap dan pegangan politik diri yang tidak berkecuali.

Berteraskan kejayaan pengurusan SPR ketika mengendalikan tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), Azhar menegaskan ia cukup membuktikan suruhanjaya itu adalah badan bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Selepas saya dilantik, kita sudah buat tujuh PRK, buktikan saya ‘bias’ (bersikap pilih kasih) dan tunjukkan apa-apa kesalahan yang dibuat.

“Saya mengambil pendirian bebas dan tidak ikut telunjuk sesiapa, sekiranya ada kesalahan, buat tribunal. Sebagaimana yang diketahui umum, Parlimen mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya.

“Saya beberapa kali membuat kenyataan bahawa akan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa terbabit mengenai tugas-tugas sebagai Pengerusi SPR dan sanggup dipanggil untuk disoal mengenai sebarang perkara berhubung suruhanjaya.

“Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, malah sehingga sekarang, saya mahupun ahli yang lain tidak dituduh melakukan apa-apa kesalahan.

“Jadi, pasal apa nak buat gesaan (supaya saya letakkan jawatan sebagai pengerusi dan minta ahli SPR turut berbuat demikian). Pada saya, tindakan seperti ini adalah mischievous (nakal),” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X