Jumaat, 6 March 2020 | 8:05pm
Permintaan penutup mulut dan hidung terus meningkat berikutan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga penularan COVID-19. Foto Aswadi Alias
Permintaan penutup mulut dan hidung terus meningkat berikutan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga penularan COVID-19. Foto Aswadi Alias

Pengeluaran penutup hidung, mulut ditambah berterusan

PUTRAJAYA: Orang ramai tidak perlu risau masalah kekurangan topeng penutup hidang dan mulut berikutan pengilang penutup hidung dan mulut tempatan dalam proses meningkatkan pengeluaran bagi menampung permintaan sejak kebelakangan ini, susulan penularan coronavirus (COVID-19).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata proses pengeluaran tambahan berjalan secara berterusan kerana pengilang tidak boleh menghasilkannya dalam jumlah yang besar dengan pantas.

“Ikut kemampuan kilang… setengah perlu ganti mesin, setengah pula perlu dapat kebenaran menambah syif, perlu tambah pekerja, tetapi usaha untuk meningkatkan bekalan tempatan itu berterusan dan pemantauan perkembangan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis apresiasi KPDNHEP untuk bekas menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan bekas timbalannya, Chong Chieng Jen, di sini, hari ini.

Katanya, penghasilan penutup hidung dan mulut dalam keadaan biasa ialah lima juta sebulan, namun kini jumlah itu meningkat tiga kali ganda iaitu 15 juta sebulan berikutan penularan COVID-19.

Ditanya rancangan untuk menghentikan eksport penutup hidung dan mulut untuk sementara waktu, Hasnol berkata KPDNHEP dalam proses melihat kemungkinan itu dan ia akan dibincangkan dengan Jawatankuasa Tertinggi yang menguruskan COVID-19. – BERNAMA

Berita Harian X