Jumaat, 6 March 2020 | 6:29pm
Foto AFP
Foto AFP

RM100 juta kerugian, susulan larangan umrah

KUALA LUMPUR: Industri pelancongan negara membabitkan ibadat umrah dianggarkan kerugian lebih RM100 juta bulan ini akibat sekatan mengerjakan umrah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi susulan penularan jangkitan COVID-19.

Difahamkan kerugian itu membabitkan 200 hingga 300 agensi pelancongan dengan anggaran 20,000 jemaah yang sudah bersedia untuk berlepas ke Tanah Suci sepanjang bulan ini, khususnya pada musim cuti sekolah bermula 14 Mac ini.

BH difahamkan kerugian itu dijangka meningkat pada bulan-bulan berikutnya sekiranya sekatan itu masih diteruskan oleh Arab Saudi.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata pengusaha umrah kecil-kecilan dijangka paling terkesan berikutan larangan umrah dan penggantungan sementara visa oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Mereka (pengusaha umrah) sememangnya terjejas, jika seorang ejen mempunyai 100 jemaah yang menunggu untuk pergi ke Tanah Suci, bermakna mereka akan hilang pendapatan sebanyak RM500,00.

“Bagi bulan ini, disasarkan 20,000 jemaah akan mengerjakan umrah memandangkan ramai yang memilih tarikh sepanjang cuti persekolahan ini dengan anggaran kos minimum perjalanan seorang jemaah adalah RM5,000.

“Jadi, secara keseluruhannya dijangka kerugian urusniaga membabitkan RM100 juta,” katanya.

Razali berkata, kerugian itu bukan lagi spekulasi tetapi ia disahkan sendiri oleh Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur yang menyebut penggantungan sementara dijangka berlanjutan sehingga 15 April depan.

“Dua hari lalu Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur memaklumkan status penggantungan larangan umrah dan visa hanya akan diputuskan pada 15 April nanti.

“Pihak Arab Saudi akan putuskan apa langkah seterusnya yang mereka akan ambil, cuma sehingga hari ini larangan masuk diteruskan membabitkan jemaah dari seluruh negara.

“Cuma PAPUH menjangkakan musim panas di Tanah Suci pada April ini dapat membunuh virus dan mengakhiri penularan jangkitan itu,” katanya.

Razali tidak menafikan pengusaha kecil umrah turut berdepan risiko gulung tikar susulan lanjutan larangan umrah dan penggantungan sementara visa oleh kerajaan Arab Saudi.

“Saya menjangkakan banyak syarikat kecil yang terpaksa gulung tikar, bayangkan jika kerugian yang ditanggung mencecah RM1 juta, bagaimana mereka dapat terus mengekalkan perniagaan.

“PAPUH juga berpandangan tidak mungkin kerajaan akan berikan sebarang bantuan kerana perkhidmatan umrah ini membabitkan pelancongan luar negara dan bukan membabitkan aliran tunai masuk ke dalam negara,” katanya.

Katanya, PAPUH menyarankan ahlinya supaya mempelbagaikan perkhidmatan khususnya beralih sementara kepada pelancongan dalam negara.

“Bagi semua ahli PAPUH mereka mempunyai lesen yang pelbagai bukan sahaja umrah tetapi boleh memberikan perkhidmatan pelancongan domestik.

“Dalam keadaan sekarang, sepatutnya pengusaha pelancongan mengambil langkah beralih kepada pelancongan dalam negara, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko kerugian semasa.

“Ini antara jalan terbaik kerana buat masa sekarang sekatan ke Makkah masih belum diketahui sama ada akan terus dilanjutkan, maka lebih baik fokus kepada pelancongan domestik kerana di Malaysia juga banyak tempat pelancongan menarik yang boleh ditawarkan kepada masyarakat,” katanya.

Berita Harian X