Jumaat, 6 March 2020 | 5:22pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

AS tangguh pemulangan RM1 bilion dana 1MDB kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pemulangan AS$240 juta (RM1 bilion) yang diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Reuters, yang memetik maklumat sumber, melaporkan keputusan itu dibuat susulan ketidaktentuan politik berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari lalu.

Beliau digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini mengetuai kerajaan campuran membabitkan UMNO yang menerajui kerajaan terdahulu, sebelum kalah pada Pilihan Raya Umum ke-18 (PRU-18), antara lain kerana skandal 1MDB.

DOJ berkata, lebih AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) diseleweng daripada dana di bawah kawalan bekas perdana menteri merangkap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, yang kini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Sejak 2016, DOJ memfailkan saman sivil bagi merampas aset sekitar AS$1.7 bilion (RM7.1 bilion) yang dibeli menggunakan dana 1MDB.

Mei lalu, AS mula memulangkan dana yang berjaya ditemui semula, membabitkan bayaran pertama hampir AS$200 juta (RM836 juta).

Kata sumber, mengikut jadual awal DOJ, pemulangan dana seterusnya ialah pada 19 Februari lalu tetapi pemindahan wang berkenaan tidak berlaku berikutan isu teknikal.

“Jumlah terbabit ialah sekitar RM1 bilion tetapi sebaik Dr Mahathir meletak jawatan, keputusan dibuat untuk menangguhkan pembayaran berikutan ketidaktentuan mengenai apa yang akan berlaku,” katanya.

Jurucakap DOJ enggan mengulas lanjut manakala pertanyaan kepada Kementerian Kewangan Malaysia dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, yang tidak memberi komen.

Sumber turut memaklumkan mereka tidak pasti apa tindakan DOJ seterusnya berhubung dana yang sepatutnya didepositkan dalam tabung khas di Kementerian Kewangan, untuk membayar hutang 1MDB.

Penyiasat AS dan Malaysia berkata Najib menerima kira-kira AS$1 bilion (RM4.1 bilion) dana 1MDB yang diseleweng.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu, sebaliknya mendakwa diperdaya ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan pegawai 1MDB lain.

Siasatan terhadap Najib hanya dimulakan selepas kekalahan mengejut kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO pada PRU-18 dan siasatan 1MDB dibuka semula.

Goldman Sachs dan beberapa eksekutifnya adalah antara yang didakwa atas peranan mereka mengurus dan mengendalikan tiga jualan bon berjumlah AS$6.5 bilion (RM27 bilion) untuk 1MDB.

Goldman Sachs mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan baru-baru ini, Najib memberitahu Reuters bahawa beliau mengharapkan suasana perbicaraan lebih saksama memandangkan Dr Mahathir tidak berkuasa lagi.

Muhyiddin belum mengulas mengenai kes 1MDB secara khusus tetapi berikrar akan memerangi rasuah.

Dua pegawai kanan di bawah pentadbiran Dr Mahathir sebelum ini, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, sudah meletak jawatan minggu lalu. - REUTERS

Berita Harian X