Jumaat, 6 March 2020 | 3:38pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Perdana Menteri Kelapan di Istana Negara. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Perdana Menteri kelapan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Perdana Menteri Kelapan di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Muhyiddin sebagai PM, bertepatan dengan ramalan

KUALA LUMPUR: Hasil kaji selidik Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) membuktikan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan bertepatan dengan ramalan dan pilihan rakyat Malaysia.

Berdasarkan kaji selidik TSIS yang dijalankan sebelum bermula krisis politik pada 23 Februari lalu, penggabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama Muafakat Nasional juga menjadi kehendak rakyat negara ini sebelum ia benar-benar direalisasikan melalui pembentukan Perikatan Nasional (PN).

Kaji selidik mengenai situasi politik semasa negara dijalankan TSIS bermula 1 hingga 20 Februari itu membabitkan 1,451 responden di semua 222 Parlimen, yang terdiri daripada satu peratus daripada bilangan pengundi di setiap Parlimen membabitkan 30 soalan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata.

Ketua Eksekutifnya, Dr Wan Mat Sulaiman, berkata berdasarkan kaji selidik, sebanyak 34 peratus atau 493 responden memilih Muhyiddin BERSATU sebagai calon utama bagi menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, melalui kajian itu juga sebanyak 59 peratus atau 856 responden tidak bersetuju Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang paling sesuai untuk mengambil kedudukan sebagai Perdana Menteri.

“Disebabkan 59 peratus daripada responden itu tidak bersetuju Anwar menggantikan tempat Dr Mahathir, sekali gus memilih Muhyiddin sebagai pilihan pertama mereka sebagai Perdana Menteri, maka pelantikan itu adalah pilihan terbaik.

“Oleh itu, TSIS berpendapat keputusan melantik Muhyiddin di dalam penubuhan kerajaan baharu disertai BERSATU, UMNO, PAS dan parti politik di luar PH adalah keputusan cukup bijaksana dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ” katanya melalui kenyataan, di sini.

Pada masa sama, Wan Mat berkata, pilihan kedua calon Perdana Menteri oleh responden ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan UMNO yang mewakili 22 peratus (319), manakala pilihan ketiga pula yang memperoleh 16 peratus (232) ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR.

Beliau berkata, 62 peratus atau 900 responden bersetuju dengan cadangan supaya BERSATU segera bergabung dengan Muafakat Nasional daripada parti politik di luar PH.

“Gabungan ini adalah refleksi kepada aspirasi rakyat secara majoriti, di mana gabungan undi semua parti politik ini jauh mengatasi gabungan undi parti politik di dalam PH melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), ” katanya.

Mengenai pentadbiran kerajaan PH sebelum ini, kaji selidik mendapati 59 peratus atau 856 responden bersetuju pakatan itu didominasi oleh golongan bukan Islam dan ini akan mengancam kestabilan negara berbanding 32 peratus (465) yang tidak bersetuju.

“Selain itu, 72 peratus atau 1,045 responden berpendapat DAP adalah parti politik yang paling memberikan masalah kepada keutuhan PH sebagai satu pakatan politik dan sebagai Kerajaan Persekutuan.

“Hasil dapatan ini, ia menunjukkan mana-mana cadangan penubuhan kerajaan baharu yang membabitkan DAP sepatutnya tidak menjadi pilihan, ” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, Ahad lalu selepas seminggu kemelut politik melanda susulan peletakan jawatan Dr Mahathir diikuti pengumuman BERSATU untuk keluar daripada PH, sekali gus menyebabkan ‘keruntuhan’ kerajaan pakatan itu.

Berita Harian X