Khamis, 5 March 2020 | 6:22pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Putrajaya Turut kelihatan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman (dua kiri) dan KSU Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (dua kanan). - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kerajaan kenakan sekatan pelawat dari tiga negara

PUTRAJAYA: Malaysia menyekat sementara pelawat dari tiga negara, berkuat kuasa serta merta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sekatan itu membabitkan pelawat dari bandar dan negara seperti Jepun (Hokkaido), Itali (Lombardy, Veneto dan Emilia-Romagna) serta Iran (Tehran, Qom dan Gilan).

Katanya, pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke bandar dan negara berkenaan dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia tidak dibenarkan memasuki negara ini.

“Mengambil kira status semasa penularan COVID-19 yang kini memasuki gelombang kedua, kerajaan memutuskan supaya rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke bandar berkenaan.

“Bagi rakyat Malaysia yang sudah berada di bandar atau wilayah berkenaan, mereka dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti meningkatkan penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia di luar negara turut digalakkan untuk mendaftar diri dengan Kedutaan Malaysia yang berhampiran,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat mengenai Kedutaan Malaysia di luar negara boleh dirujuk di laman web Kementerian Luar Negeri di www.kln.gov.my.

Pada 28 Februari lalu, media melaporkan kerajaan menyekat sementara kemasukan semua pelawat dari Korea Selatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Sekatan sementara itu turut membabitkan warga asing yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo.

Berita Harian X