X
Khamis, 5 March 2020 | 11:00am

16 jawatan senator masih kosong

Kuala Lumpur: Ketika ini, ada 16 jawatan Ahli Dewan Negara belum diisi, yang pada pandangan penganalisis menyediakan ruang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin jika beliau memutuskan mahu melantik bukan Ahli Parlimen terdiri daripada kalangan mereka yang berpengalaman, profesional dan teknokrat sebagai anggota Kabinet.

Dalam ucapan sulungnya Isnin lalu, Perdana Menteri berjanji hanya akan melantik Jemaah Menteri terdiri daripada kalangan pemimpin yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Susulan itu, pelbagai pihak mencadangkan supaya Perdana Menteri turut menimbang melantik mereka yang berpengalaman termasuk profesional untuk mengukuhkan pentadbiran kerajaan.

Jurucakap Parlimen ketika dihubungi BH, memaklumkan pada masa ini hanya 54 daripada 70 jawatan senator diisi iaitu 29 dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sementara 25 lagi dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada 16 kekosongan berkenaan, 15 membabitkan lantikan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan satu lagi kuota DUN Melaka.

Keanggotaan Dewan Negara terbahagi kepada dua, iaitu 26 dipilih oleh 13 DUN seluruh negara dengan setiap negeri diperuntukkan dua kerusi, sementara 44 lagi dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata Perdana Menteri wajar mempertimbangkan langkah melantik senator dalam kalangan profesional.

Beliau mencadangkan golongan seperti teknokrat, ahli akademik, advokator awam, tokoh awam, penggiat seni dan usahawan berjaya, diberi peluang mengisi kekosongan kerusi Dewan Negara.

“Lantikan golongan profesional akan memberi nilai tambah dan kualiti kepada sesi perbahasan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, berdasarkan pengalaman serta kepakaran mereka.

“Dari segi komposisi, mungkin boleh dipertimbangkan untuk melantik 30 peratus dalam kalangan profesional sebagai senator bagi mengisi jawatan Kabinet,” katanya.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, menyifatkan golongan profesional boleh membentuk pentadbiran kerajaan yang jitu.

Beliau menegaskan golongan profesional dipilih itu, mesti memiliki kepakaran yang boleh dimanfaatkan bagi mendepani cabaran semasa berkait ekonomi dan perpaduan.

“Apa yang penting, lantik individu dalam sektor ekonomi dan perpaduan.

“Dua perkara ini dilihat aspek yang tidak boleh dipisahkan di Malaysia.

“Masalahnya sekarang ini, bolehkah jawatan dua sektor itu diberikan kepada golongan profesional yang menjadi senator dan diangkat sebagai menteri,” katanya.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhammad Fathi Yusof, menyifatkan penyertaan golongan profesional dan teknorat dalam Kabinet baharu akan meningkatkan imej kerajaan di mata rakyat.

“Jika dilihat kepada peristiwa pergolakan politik dalam seminggu yang lalu, wujud satu persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap ahli politik.

“Kalau kerajaan benar-benar serius mahu memulihkan keyakinan orang ramai, maka ini boleh digunakan sebagai langkah membuka pentadbiran kerajaan kepada bukan ahli politik semata-mata tetapi golongan profesional dan teknorat,” katanya.

Pelantikan golongan profesional dan mereka yang berpengalaman luas tetapi bukan Ahli Parlimen sebagai menteri, bukan sesuatu yang baharu.

Antara mereka ialah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Musa Mohamad, yang menjadi Menteri Pendidikan pada 1999 hingga 2004.

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, pula pernah dilantik Menteri di JPM, yang mengetuai Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Statistik pada Mac 2008 hingga April 2009.

Sementara itu, tokoh korporat, Tan Sri Abdul Wahid Omar, dilantik sebagai Menteri di JPM yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi pada Mei 2013 hingga Jun 2016.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, Senator P Waytha Moorthy yang tidak mewakili mana-mana parti, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X