Rabu, 4 March 2020 | 12:57pm
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tok Mat, Tok Pa antara calon disebut-sebut

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilihat antara calon yang layak dipertimbang menganggotai Kabinet bagi menerajui kementerian yang penting.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, nama bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang berpengalaman luas dalam dunia korporat, termasuk pernah menerajui syarikat antarabangsa, disebut-sebut paling sesuai menerajui Kementerian Kewangan.

Mustapa pula berpengalaman luas dalam Kabinet dan dilihat sesuai memimpin sama ada Kementerian Kewangan atau Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau perlu dilantik menjadi Ahli Dewan Negara terlebih dahulu sebelum boleh menganggotai Jemaah Menteri.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai mengesyorkan bahawa Menteri Kewangan yang baharu dilantik daripada kalangan bukan pemimpin politik, iaitu Tan Sri Mohd Hassan Marican serta Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Bagaimanapun, Mohd Hassan yang juga bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS selama 15 tahun sejak 1995 dan Abdul Wahid juga perlu dilantik menjadi Ahli Dewan Negara untuk menganggotai Kabinet.

Profesor ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berpendapat, Ahli Parlimen Jeli yang juga Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Mustapa layak kembali menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Pengalaman dan kelayakan Mustapa juga membolehkannya memimpin sama ada Kementerian Kewangan atau Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Beliau memang layak menerajui MITI atau Kementerian Pendidikan, tetapi yang terbaik pada pandangan saya adalah Menteri Kewangan atau Menteri Hal Ehwal Ekonomi,” katanya.

Bagi jawatan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan, nama Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein antara yang disebut-sebut berdasarkan pengalamannya menjawat dua jawatan itu pada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pakar geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata Menteri Pertahanan perlu mempunyai pengalaman menghadapi cabaran isu keselamatan, terutama sekali isu pengganas dan juga isu membabitkan kuasa besar seperti dalam kes Laut China Selatan.

“Menteri Pertahanan baharu perlu bekerjasama erat dengan Perdana Menteri dan paling penting ada pengetahuan luas dalam isu antarabangsa dan mampu bekerja rapat dengan Menteri Luar. Dasar yang terbit daripada Kementerian Pertahanan dan Wisma Putra mesti selari kerana kedua-dua sektor itu berkait,” katanya.

Mengenai Menteri Dalam Negeri, katanya, calon bukan sahaja harus berpengalaman dalam isu hal ehwal dalam negeri, tetapi juga arif dalam hal berkait rapat dengan isu dasar luar dan pertahanan.

“Saya berpendapat Perdana Menteri perlu melantik Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri yang bukan sahaja berpengalaman menerajui portfolio masing masing, tetapi lebih penting adalah dasar yang digubal tidak bercanggah di antara ketiga-tiga kementerian ini,” katanya.

Sementara itu, pakar keselamatan dan pertahanan, Prof Madya Ahmad Ghazali Abu Hasan, berkata kriteria yang paling utama bagi calon jawatan Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri adalah bersih dan berintegriti seperti dimahukan Muhyiddin.

Bagi kementerian yang dilihat penting untuk pembangunan ekonomi orang Melayu, iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad dilihat wajar dipertimbang.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, yakin Ketua Wanita UMNO itu mampu menggalas tanggungjawab berkenaan berdasarkan pembabitannya dalam sektor koperasi dan keusahawanan.

Pemimpin lain yang turut layak dipertimbang, katanya, termasuk Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Berita Harian X