Ahad, 1 March 2020 | 8:53pm

PM jamu 'pizza' kepada petugas media

KUALA LUMPUR: “Dah berapa hari dah (berkampung), dua hari?” sapa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang meluangkan masa mengedar makanan kepada petugas media yang menunggu di luar kediamannya, di sini, hari ini.

Jadual Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU sibuk selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi.

Muhyiddin yang berbaju batik biru keluar ke pintu masuk kediamannya, kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Sambil menyerahkan pizza, Muhyiddin turut bertanya khabar kepada petugas media yang berkampung di hadapan kediamannya sejak beberapa hari lalu.

"Dah berapa hari dah (berkampung), dua hari?" tanya beliau yang turut meluangkan masa bergambar dengan petugas media yang berada di situ sejak awal pagi tadi.

Sebaik saja kembali ke kediamannya kira-kira jam 12 tengah hari, beliau tidak putus-putus menerima kunjungan, antaranya daripada pemimpin parti politik dan penyokongnya.

Pagi tadi, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada jam 10.33 pagi.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengedarkan makanan kepada petugas media yang bertugas di perkarangan kediaman beliau di Bukit Damansara. - Foto Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengedarkan makanan kepada petugas media yang bertugas di perkarangan kediaman beliau di Bukit Damansara. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X