Ahad, 1 March 2020 | 7:55pm

Tular esok cuti umum palsu

PUTRAJAYA: Berita pengisytiharan esok (2 Mac) adalah cuti umum bersempena pelantikan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tular hari ini adalah berita palsu.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan ringkas hari ini, berkata semua pihak diminta berhenti daripada menyebarkan berita palsu tersebut dengan serta-merta.

Pagi tadi, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pagi tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai perdana menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri interim setelah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari lalu. – BERNAMA

Berita Harian X