Ahad, 1 March 2020 | 6:50pm
Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

PKR dirasuk budaya gangsterisme, keganasan

KUALA LUMPUR: Serangan terhadap Naib Presiden PKR, Tian Chua membuktikan parti itu dirasuk budaya gengsterisme dan keganasan.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, gejala itu adalah bukti bagaimana parti yang didirikan dengan tujuan murni untuk membela nasib rakyat sudah ‘dihijack’ oleh seorang yang bertopengkan reformasi.

“Serangan terhadap Naib Presiden (Tian Chua) yang juga seorang aktivis sosial yang dihormati, semata-mata kerana perbezaan pandangan dan pendapat mencerminkan bagaimana parti itu sudah diseludupi budaya gengsterisme dan keganasan.

“Gejala ini menjadi bukti bagaimana parti yang didirikan dengan tujuan murni untuk membela nasib rakyat ‘dihijack’ oleh orang yang bertopeng reformasi dan menjadikan agenda mendewakan diktator sebagai teras perjuangan.

“Pimpinan tertinggi PKR hari ini kelihatan alpa terhadap budaya samseng tersebut dan menyimpang jauh dari reformasi membela rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan berkata, Tian Chua adalah seorang aktivis sosial yang dihormati dan pengasas parti itu yang berjasa dalam perjuangan sejak ia ditubuhkan.

Katanya, sebuah parti politik yang berlandaskan perjuangan keadilan dan demokrasi seharusnya menggunakan wacana rasional dan perdebatan yang berasaskan kepada fakta.

“Apabila sesebuah parti itu dirasuk oleh unsur gengsterisme dan pimpinan membiarkannya terus berleluasa, ini bermakna parti itu berada di ambang kehancuran.

“Saya meminta semua pihak menolak budaya gengsterisme dan keganasan dalam politik. Sebaliknya kita perlu berusaha menyuburkan semangat berdebat secara rasional dan berunding untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Berita Harian X