Ahad, 1 March 2020 | 12:24pm
PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron. - Foto Reuters
PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron. - Foto Reuters

Presiden Perancis gesa gencatan senjata 'berpanjangan' di Idlib

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa Turki dan Russia melaksanakan gencatan senjata berpanjangan di wilayah Idlib, Syria dalam perbualannya dengan kedua-dua pemimpin negara itu, menurut istana Elysee.

Tentera Syria yang disokong Moscow, melancarkan serangan ketenteraan sejak Disember lalu terhadap kubu kuat terakhir pemberontak, dengan Ankara menyokong sebahagian pemberontak.

Macron menzahirkan ‘kebimbangan ketaranya terhadap krisis kemanusiaan yang semakin jelas’ kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan pemimpin Russia, Vladimir Putin, jelas satu kenyataan, semalam.

Beliau turut memberi amaran mengenai risiko kumpulan pengganas akan berkembang ‘kerana serangan ketenteraan rejim Syria dan sekutunya’, selain ia meremehkan perjanjian Idlib pada 2018 antara Russia dan Turki yang mewujudkan zon bebas tentera di wilayah barat laut itu.

Perjanjian itu kini hampir musnah selepas tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad bergerak untuk merampas kembali kawasan luas terakhir yang tidak berada di bawah kawalannya.

Macron berkata, ‘pertempuran perlu dihentikan segera’ dan menggesa Russia dan Turki melaksanakan gencatan senjata ‘berpanjangan dan disahkan’ seperti yang digariskan dalam perjanjian itu.

Russia perlu ‘menamatkan serangan ketenteraan di barat laut Syria dan menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa, melindungi orang awam, kakitangan dan akses kemanusiaan’, tambahnya.

Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel telah memanggil satu pertemuan dengan Erdogan dan Putin bagi menyelesaikan krisis berkenaan. - AFP

Berita Harian X