Ahad, 1 March 2020 | 10:08am
TAN Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri kelapan. - Foto Aswadi Alias
TAN Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri kelapan. - Foto Aswadi Alias

Muhyiddin tiba di Istana Negara, angkat sumpah Perdana Menteri ke-8

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri kelapan.

Kenderaan membawa Ahli Parlimen Pagoh itu memasuki pintu istana pada jam 9.50 pagi.

Muhyiddin turut membuka tingkap kenderaannya dan melambaikan tangan ke arah petugas media yang menunggu di luar Pintu Satu Istana Negara sejak jam 8 pagi tadi.

Istiadat dijadualkan akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada jam 10.30 pagi ini.

Istana Negara semalam dalam satu kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri kelapan. - Foto Aswadi Alias
Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri kelapan. - Foto Aswadi Alias

Pelantikan Muhyiddin, 73, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai Perdana Menteri dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Istana Negara semalam menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Katanya, selepas mendapat representasi semua, pada hemat Yang di-Pertuan Agong, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Muhyiddin.

Kemelut politik negara termasuk berhubung jawatan Perdana Menteri yang baharu tercetus apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, meletakkan jawatannya pada 24 Februari lalu.

Sementara itu, lebih 20 kenderaan kenamaan tiba di Istana Negara jam 9.52 pagi tadi.

Antara yang hadir, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menurunkan tingkap dan melambai ke arah media.

Berita Harian X