Ahad, 1 March 2020 | 9:45am
Kecekapan pasukan Maritim Malaysian mendapat pelbagai pengiktirafan.
Kecekapan pasukan Maritim Malaysian mendapat pelbagai pengiktirafan.

Maritim perkasa, samudera sejahtera

Tanggal 15 Februari 2020, genaplah 15 tahun usia Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai agensi penguatkuasa maritim negara.

Sambutan Ulang Tahun ke-15 kali ini diadakan serentak dengan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai siri 10/2019 dan Pegawai Lain-Lain Pangkat siri 15/2019 pada 23 Februari lalu di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) Gebeng, Kuantan.

Ia dirasmikan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Jamil Rakon, yang mewakili Menteri Dalam Negeri.

Tema sambutan Hari Ulang Tahun kali ini, ‘Maritim Perkasa, Samudera Sejahtera’ yang membawa maksud pemerkasaan dalaman Maritim Malaysia dalam aspek rohani, jasmani dan aset menjadi teras kepada perkhidmatan dalam memastikan kesejahteraan perairan negara dilindungi secara efisien dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Sepanjang tempoh 15 tahun ini pelbagai kejayaan dicapai dan cabaran ditempuhi Maritim Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som, penguatkuasaan di laut bukan sahaja mencegah pencerobohan perairan negara, malah turut membendung aktiviti salah laku jenayah seperti penyeludupan barangan, manusia dan rompakan atau perlanunan.

Antara kejayaan lain Maritim Malaysia adalah seperti sifar kes rompakan atau perlanunan direkodkan bagi 2019.

Kes rompakan atau perlanunan mulai menurun pada 2015 dan tiga tahun berikutnya berada pada paras bawah tiga peratus.

Maritim Malaysia turut mencapai kejayaan besar melalui operasi bersama PDRM dan Kastam dengan menggagalkan kes penyeludupan dan pengedaran dadah di Johor membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 2.09 tan bernilai RM107.5 juta.

Selain itu, Maritim Malaysia juga berjaya meraih hasil lebih RM122 juta menerusi kompaun, lelongan, denda dan pelupusan serta berjaya menyelamatkan diesel/petrol bersubsidi bernilai lebih RM1.8 juta sepanjang tahun lalu.

“Sebagai agensi peneraju penguatkuasa maritim, Maritim Malaysia mencatat prestasi terbaik di dalam Op Naga dengan jumlah tangkapan tertinggi 127 kes sepanjang 2019.

“Hasil daripada itu, Op Naga dengan kerjasama bersepadu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perikanan, berjaya menyelamatkan kira-kira RM6 bilion hasil laut negara sejak ia dilancarkan pada 26 April 2019.

“Selain tugas penguatkuasaan undang-undang di laut, Maritim Malaysia juga bertanggungjawab menerajui operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) maritim sejak Jun 2006.

“Perkhidmatan Search and Rescue (SAR) yang efektif selama ini, membina persepsi positif dan keyakinan tinggi kepada organisasi antarabangsa seperti International Maritime Organisation (IMO) dan International Civil Aviation Organisation CAO) terhadap sistem pengurusan bencana di perairan negara oleh Maritim Malaysia,” kata beliau.

Pelbagai pengiktirafan diterima daripada pelbagai negara atas kecekapan Maritim Malaysia dalam melaksanakan Operasi CARILAMAT seperti Conferment Award daripada Raja Sepanyol yang disampaikan Duta Sepanyol dan penghargaan daripada kedutaan Singapura serta banyak lagi.

“Tanpa kita sedari, Maritim Malaysia juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang membabitkan industri petroleum dan gas serta kapal dagang di laut lepas, termasuk industri pelancongan,” katanya.

Dalam usaha menjadi antara agensi terbaik di dunia, kesiapsiagaan aset seiring dengan kemajuan teknologi turut diutamakan.

Justeru, Maritim Malaysia bakal menggunakan aset berkeupayaan tinggi seperti Offshore Patrol Vessel (OPV) serta helikopter jenis medium lift.

Beliau turut berkongsi pemantapan pengurusan sumber manusia bersandarkan kepada kompetensi dalam melahirkan anggota serta pegawai berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.

Pelbagai program pembangunan dan latihan dilaksanakan menerusi Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) yang seiring visi Maritim Malaysia ke arah menjadikan AMSAS sebagai platform Centre of Excellence (CoE) serantau.

Pegawai wanita ungguli bidang keselamatan maritim

Meskipun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ini baru berusia 15 tahun pada 15 Februari lalu, namun agensi ini berjaya melahirkan pegawai Maritim pertama yang memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang keselamatan maritim.

Lebih membanggakan lagi pegawai Maritim yang memiliki kepakaran ini adalah wanita.

Selaras seruan kerajaan bagi memperkasa wanita dalam sektor pekerjaan, selain memberi sokongan kepada Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mencapai matlamat kesaksamaan jantina dan memperkasakan semua wanita dalam semua aspek, Maritim Malaysia dilihat proaktif dalam memastikan anggota wanita terus memperkasakan kapabiliti mereka ke arah lebih baik.

Dianggarkan jumlah wanita terbabit dalam industri maritim di seluruh dunia hanya dua peratus. Namun, bukan sembarangan wanita mampu menyertai industri maritim, kebanyakan mereka memiliki jiwa kental

dan mental kuat.

Leftenan Komander Maritim Suzanna Razali Chan, 39, yang berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Malaysia, berkata tiada istilah diskriminasi jantina dalam perkhidmatan Maritim Malaysia.

Semua anggota dan pegawai berpontensi tidak kira lelaki atau wanita diberi peluang sama rata dalam aspek perkembangan kerjaya.

Meskipun jumlah pembabitan wanita dalam Maritim Malaysia hanya empat peratus, ia bukan penghalang kepada mereka untuk berjaya sebagai penguatkuasa maritim yang menguatkuasakan undang-undang maritim.

“Ramai pegawai wanita yang memegang portfolio penting dalam Maritim Malaysia ini, sama ada di sektor pengurusan dan pentadbiran serta di lapangan.

Ada di antara kami dilantik sebagai koordinator bagi operasi Carilamat, Pegawai Memerintah Kapal, pegawai di lapangan dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Aida pegawai Maritim wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal. - NSTP/Effendy Rashid
Aida pegawai Maritim wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal. - NSTP/Effendy Rashid

Antara personaliti wanita yang menyerlah di Maritim Malaysia ialah Leftenan Komander Maritim Aida Arzahari, 37, Pegawai Memerintah KM Nyalau, iaitu pegawai Maritim wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Memerintah Kapal.

Menyahut seruan Kerajaan mengupayakan wanita serta aspirasi Maritim Malaysia dalam melahirkan pakar bidang atau subject matter expert (SME), seorang pegawai wanita dan seorang pegawai lelaki dikenal pasti untuk dicalonkan sebagai pegawai SME dalam bidang forensik maritim dan carilamat.

Selepas tamat pengajian nanti kedua-duanya bakal menjadi pakar rujuk pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Berita Harian X