Sabtu, 29 Februari 2020 | 2:03pm
Amir (dua dari kanan) merasmikan 'Karnival WOW PERKESO 2020' di Wisma PERKESO, sambil diperhatikan Mohamed Azman (dua dari kiri). - Foto NSTP/Mustaffa Kamal
Amir (dua dari kanan) merasmikan 'Karnival WOW PERKESO 2020' di Wisma PERKESO, sambil diperhatikan Mohamed Azman (dua dari kiri). - Foto NSTP/Mustaffa Kamal

Sasar 700,000 pekerja sendiri carum PERKESO tahun ini

KUALA LUMPUR: PERKESO menyasarkan 700,000 pencarum baharu mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada tahun itu.

Mengakui ia satu cabaran kepada badan itu kerana kesedaran yang masih kurang dalam kalangan Orang Bekerja Sendiri (OBS), Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pihaknya akan menggandakan usaha bagi mencapai sasaran itu.

Walaupun kira-kira 2.8 juta rakyat negara ini layak mencarum di bawah skim berkenaan yang membabitkan 20 sektor tidak formal, hingga semalam sejumlah 48,998 OBS saja yang mencarum dengan SKPS.

“Sejak 2017, hampir 1,700 aktiviti promosi dilaksanakan PERKESO di seluruh negara bagi mendekati OBS tetapi kesedaran itu masih kurang. Angka yang mendaftar jauh lebih rendah dari jumlah yang diharapkan.

“Mungkin kesedaran keperluan mencarum dan mendaftar ini agak kurang. Justeru, kita akan berusaha bersungguh-sungguh memberi kesedaran kepada semua OBS akan kepentingan jaringan keselamatan sosial ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Karnival World of Work! (WOW!) PERKESO di Wisma PERKESO di sini, hari ini. Majlis dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar.

Sejak SKSPS diperluaskan kepada 19 lagi sektor tidak formal pada 1 Januari lalu, hanya 7,100 OBS saja yang mendaftar untuk mencarum.

Pemandu perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan yang mencecah lebih 100,000 orang di negara ini, namun jumlah pencarum SKSPS amat sedikit.

“Jadi, kita meminta golongan ini dan semua yang belum mendaftar untuk hadir pada Karnival WOW! PERKESO yang akan diadakan hari ini dan esok.

“Saya syorkan bayaran caruman dibuat untuk setahun, dan bukan hanya sebulan kerana ada antara pencarum yang membayar untuk sebulan saja, kemudian berlaku kemalangan dan dia tidak mendapat faedah,” katanya.

Dr Mohammed Azman turut berharap syarikat e-hailing memberikan kerjasama bagi membolehkan potongan caruman dilakukan secara automatik, contohnya daripada transaksi perkhidmatan seperti yang dilakukan di Indonesia.

“Ada yang tidak membayar caruman walaupun kita menghantar notis peringatan, jadi ini adalah antara cara bayaran oleh pencarum, berbanding bayaran melalui atas talian, cek atau tunai yang dilakukan pencarum ketika ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 21 majikan menyertai Karnival WOW! PERKESO yang menyediakan lebih 40,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

“Jika karnival ini mendapat sambutan, kita akan memperluaskannya ke seluruh negara bagi lebih mendekati golongan sasar kita,” katanya.

Berita Harian X