Jumaat, 28 Februari 2020 | 4:34pm
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

BERSATU sah calon Muhyiddin PM kelapan

Oleh Rohaniza Idris

roha@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mencalonkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan bagi diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Dewan Parlimen parti itu yang dihadiri 36 Ahli Parlimen parti itu, hari ini.

“Mesyuarat Ahli Dewan Rakyat BERSATU pada hari ini telah memutuskan untuk mencalonkan Presiden dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Mesyuarat hari ini dihadiri oleh seramai 36 Ahli Dewan Rakyat BERSATU,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Kesemua 36 ahli Parlimen itu termasuk 10 ahli Dewan Rakyat daripada kumpulan bekas Ahli Parlimen PKR yang diketuai Ahli Parlimen Gombak yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

10 bekas Ahli Parlimen PKR itu kini sah menjadi ahli BERSATU.

Mereka adalah Mohamed Azmin, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Seorang lagi, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar menjadi ahli bersekutu parti itu.

Rabu lalu, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin.

Ketika mengesahkan keputusan itu, Anwar yang juga Presiden PKR, berkata PH sudah memohon kepada Dr Mahathir untuk kembali bersama PH tetapi ditolak dengan keengganan Perdana Menteri interim berkenaan hadir mesyuarat yang diadakan.

Katanya, segala keputusan membabitkan perlantikan jawatan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan yang baharu kini diserahkan sepenuhnya di atas pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X