Jumaat, 28 Februari 2020 | 4:24pm

Agong belum peroleh keyakinan sokongan majoriti bakal PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih belum memperoleh keyakinan seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu, menurut kenyataan Istana Negara sebentar tadi.

Berikutan itu, Istana Negara akan berhubung dengan ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka mengemukakan pencalonan nama Ahli Parlimen sebagai bakal Perdana Menteri.

Perkara itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara.

“Berdasarkan temubual ini, Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Seri Paduka Baginda juga turut berkenaan dengan keputusan yang telah diambil oleh YB Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin 2 Mac 2020.

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak terbabit ketika proses temubual dijalankan.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen dan Ketua Setiausaha Negara serta semua pihak yang terbabit dalam proses temubual antara Seri Paduka Baginda dan Ahli Parlimen.

“Temubual itu telah berlangsung selama dua hari bermula Selasa, 25 Februari 2020 di Istana Negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Berita Harian X