Khamis, 27 Februari 2020 | 10:19pm
Gambar fail, Pengerusi Persatuan Agensi Perlancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Gambar fail, Pengerusi Persatuan Agensi Perlancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

15,000 jemaah Malaysia bakal terkesan visa umrah digantung

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 15,000 jemaah Malaysia yang akan berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah bulan depan dijangka terjejas susulan keputusan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan ke Makkah dan Madinah.

Kesemua jemaah yang akan terbang pada Mac ini difahamkan sudah membayar penuh keseluruhan kos pakej umrah kepada agensi pengendali umrah masing-masing.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata Kementerian Luar Malaysia wajar mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur bagi meyakinkan keadaan negara yang tidak terjejas teruk berikutan wabak COVID-19.

“Saya harap Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar mengambil peranan, apatah lagi pada ketika ini tidak ada menteri dalam kerajaan yang boleh membantu.

“Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur perlu diperjelaskan keadaan negara kita adalah selamat, cuma dua baki rakyat yang positif COVID-19 dengan 20 daripadanya sudah pulih sepenuhnya,” katanya.

Mengulas nasib jemaah Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan arahan serta merta dikeluarkan kerajaan Arab Saudi, katanya tidak ada jalan lain selain akur kepada arahan berkenaan.

Menurut Razali, soal ganti rugi bagi setiap jemaah yang terkandas juga tidak sepatutnya dibangkitkan sebagai isu besar memandangkan setiap individu yang melancong wajib mengambil insurans.

“Isu ganti rugi tidak timbul kerana Akta Industri Pelancongan mewajibkan pengambilan insurans, jadi sekiranya ada masalah termasuk pemberhentian visa sementara seperti ini maka insuran akan tanggung.

“Jadi, jemaah atau pengendali umrah tidak perlu bimbang, kecuali bagi yang tidak mengikut undang-undang dengan tidak menyediakan insuran.

“Bagi kes sedemikian, agensi umrah ini boleh dikenakan tindakan termasuk digantung lesennya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancong Bumitputera (BUMITRA), Mohd Ali Ab Malek, turut mengakui kira-kira 10,000 hingga 15,000 jemaah akan terjejas dalam tempoh sebulan sekiranya penggantungan sementara visa itu berlaku dalam tempoh panjang.

Mohd Ali berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan statistik 2019 yang mencatatkan seramai 110,379 jemaah mengerjakan umrah dalam tempoh empat bulan iaitu mulai September hingga Disember.

“Tahun ini, BUMITRA menyasarkan seramai 270,000 jemaah akan mengerjakan umrah.

“Tidak dinafikan kami menjangkakan berlaku penurunan sekiranya penggantungan visa ini berlanjutan,” katanya.

Mohd Ali berkata, yang mungkin lebih terkesan adalah rakyat Malaysia yang melakukan umrah secara persendirian atau lebih dikenali dengan umrah DIY (Do-IT-Yourself).

“Bagi mereka yang pergi secara umrah DIY, pemprosesan visa dilakukan sendiri secara dalam talian (online).

“Jadi mereka mungkin tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai situasi semasa, maka risiko juga perlu ditanggung sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Ali berharap agensi umrah mengambil tanggungjawab untuk sentiasa memberikan maklumat dari semasa ke semasa kepada jemaah supaya permasalahan ini dapat diselesaikan secara baik.

Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan berkuat kuasa hari ini Arab Saudi menggantung sementara kemasukan warga asing dari negara yang mengalami wabak COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur hari ini sebagai langkah berjaga-jaga oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi mencegah, mengawal dan menghapuskan penularan wabak COVID-19.

Berita Harian X