Khamis, 27 Februari 2020 | 9:27pm
Jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas kerajaan Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu. Foto NSTP/ Samadi Ahmad
Jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas kerajaan Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu. Foto NSTP/ Samadi Ahmad

Jemaah umrah Malaysia, Indonesia terkandas di KLIA

SEPANG: Sekumpulan 36 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak jam 4 petang tadi, susulan keputusan kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah.

Tinjauan BH petang tadi juga mendapati kira-kira 100 jemaah membabitkan tiga kumpulan dari Indonesia dipercayai dari Jogjakarta, Palu dan Pontianak turut terkandas.

Seorang jemaah, Mahayani Ishak, 58, dari Sik, Kedah, berkata dia menerima berita itu melalui kakitangan ejen pelancongan selepas Zuhur, yang menyatakan kerajaan Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah.

Mahayani berkata, dia tiba di KLIA pada jam 9 pagi tadi dengan bas disediakan ejen pelancongan dan sepatutnya berlepas ke Jeddah dengan penerbangan Saudi Airlines pada jam 4.40 petang bersama suami, dua anak, kakak dan ibu saudara.

Menurutnya, pada awal mereka sekeluarga sedih kerana tidak dapat menunaikan umrah, namun menerima dengan hati terbuka kerana yakin ada hikmah di sebaliknya.

“Pihak pelancongan berjanji akan menguruskan semula pemergian kami ke Makkah dan selepas ini kami akan pulang semula ke kampung pada jam 1 pagi dengan bas yang disediakan pihak ejen,” katanya.

Seorang jemaah dari Pontianak, YuliantoSyamon, 46, berkata beliau bersama 48 jemaah tiba di KLIA pada jam 12 tengah hari.

Mereka tiba di Malaysia sejak semalam dan menumpang di rumah saudara dan rakan sekitar Lembah Klang.

Katanya, mereka sepatutnya berlepas ke Jeddah menggunakan penerbangan Etihad pada jam 7 malam dan masih menunggu berita terbaharu daripada kerajaan Arab Saudi.

“Seramai 33 jemaah daripada kumpulan kami sudah berlepas ke Jeddah pada jam 11.30 pagi tadi dan diberitakan akan pulang semula ke KLIA selepas tidak dibenar masuk oleh kerajaan Arab Saudi.

“Setakat ini kami masih menunggu rakan yang akan pulang semula ke KLIA dari Jeddah dan selepas itu akan berangkat pulang ke Indonesia,” katanya.

Berita Harian X