Khamis, 27 Februari 2020 | 9:10pm

Media Prima, PPUM bekerjasama anjur kempen derma darah

KUALA LUMPUR: Seramai 60 kakitangan Media Prima Berhad (Media Prima) menyertai kempen derma darah di Balai Berita, di sini, hari ini.

Acara tahunan itu dikendalikan 11 anggota kesihatan daripada Unit Transfusi Darah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Transfusi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Praveena Sharmughan, berkata kempen berkenaan antara langkah bagi mencari penderma.

Ini kerana, katanya ada kalangan masyarakat yang menghadapi kekangan untuk hadir ke hospital.

“Apa yang PPUM lakukan sekarang adalah keluar ke lokasi tumpuan ramai untuk mencari penderma khususnya di Lembah Klang.

“Apatah lagi penularan COVID-19 menyebabkan ada masyarakat yang panik dan takut untuk datang ke hospital kerana bimbang akan berjumpa dengan orang ramai terutama pesakit,” katanya.

Dr Praveena berkata, kempen itu turut bertujuan membantu PPUM meningkatkan tabungan darah bagi pesakit yang memerlukan bantuan.

Kakitangan Bahagian Teknologi Maklumat NSTP, Muhamad Hanafi Jamaludin, berkata beliau kerap menderma darah kerana menganggapnya satu ibadah khususnya dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Kempen derma darah perlu diperluaskan, antaranya semaikan dalam jiwa masyarakat Islam kerana ia juga antara cabang ibadah yang digalakkan dalam agama.

“Selain itu, saya sarankan pihak hospital lebih kreatif dalam mempelbagaikan kempen untuk menarik minat masyarakat termasuk menawarkan sesi rawatan percuma bagi yang menyumbang,” katanya.

Sementara itu, kakitangan eksekutif di Content Production, CJ Wow Shop, Chai Wei Xien, 29, berkata inisiatif derma darah wajar disokong oleh majikan, sama ada membabitkan agensi kerajaan atau swasta.

“Usaha Media Prima dan PPUM ini wajar dipuji kerana membawa fasiliti derma darah kepada masyarakat.

“Ia perlu diteruskan secara konsisten di semua agensi kerajaan dan swasta, dengan cara itu masyarakat tidak lagi takut untuk menderma darah dan melihatnya sebagai tanggungjawab sosial yang murni demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Dr Praveena turut meminta agensi atau individu perseorangan yang ingin bekerjasama melaksanakan tempahan kempen derma darah di lokasi sekitar Lembah Klang boleh menghubungi PPUM di talian 0379492039 atau emel kepada tarmizi@ummc.edu.my.

Kempen derma darah oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kerjasama Media Prima di Balai Berita, Kuala Lumpur. Foto NSTP/Mustaffa Kamal
Kempen derma darah oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kerjasama Media Prima di Balai Berita, Kuala Lumpur. Foto NSTP/Mustaffa Kamal
Berita Harian X