Khamis, 27 Februari 2020 | 6:11pm

Peruntukan tambahan RM2 bilion perkukuh infrastruktur kecil

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan segera kerja-kerja penyelenggara dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat ke peringkat akar umbi, peruntukan akan disalurkan melalui usaha sama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.

“Projek yang terbabit perlu dilaksanakan dengan segera agar dapat memberi impak yang positif untuk merangsangkan ekonomi,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi 2020 bertema “Memperkukuh keyakinan, merangsang pertumbuhan, melindungi pekerjaan” di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan semua projek, Kementerian Kewangan akan memudahkan tatacara kewangan khas untuk 2020 menerusi dua langkah.

“Pertama, meningkatan nilai untuk perolehan melalui kaedah cabut undi dari RM50,000 kepada RM100,000 dan kaedah sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000.

“Kedua, memastikan kementerian menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada agensi pelaksana masing-masing menjelang suku pertama tahun 2020. Seterusnya, Kementerian Kewangan akan memantau pematuhan kepada jadual perolehan agar aktiviti dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

Berita Harian X