Khamis, 27 Februari 2020 | 5:56pm

Caruman KWSP diturunkan kepada tujuh peratus

PUTRAJAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menurunkan caruman minimum kepada tujuh peratus berbanding 11 peratus ketika ini, sebagai langkah merangsang permintaan domestik, kata Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pengurangan caruman itu bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum sehingga akhir tahun ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi 2020 bertema “Memperkukuh keyakinan, merangsang pertumbuhan, melindungi pekerjaan” di sini, sebentar tadi.

KWSP dalam kenyataannya menjelaskan, kadar caruman berkanun baharu ini akan berkuatkuasa mulai 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini, untuk ahli yang berumur 59 tahun dan ke bawah.

Ia berkata, kadar caruman pekerja bagi ahli berumur 60 tahun dan ke atas tidak berubah.

“Keputusan untuk mengurangkan kadar caruman berkanun KWSP adalah berikutan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan bertujuan untuk mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global COVID-19 sejak kebelakangan ini.

“Majikan hendaklah memastikan amaun caruman yang betul ditolak daripada upah/gaji pekerja berdasarkan kadar caruman baharu seperti dalam Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991,” kata KWSP.

KWSP berkata, pekerja bagaimanapun boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi KadarBerkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my.

Notis ini perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP.

Berita Harian X