Khamis, 27 Februari 2020 | 5:29pm
Perdana Menteri Interim, Mahathir Mohamad berucap ketika dia melancarkan pelan rangsangan ekonomi, yang bertujuan untuk memerangi kesan coronavirus novel COVID-19, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Foto AFP
Perdana Menteri Interim, Mahathir Mohamad berucap ketika dia melancarkan pelan rangsangan ekonomi, yang bertujuan untuk memerangi kesan coronavirus novel COVID-19, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. - Foto AFP

Pinjaman kecemasan untuk syarikat terjejas COVID-19

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan dengan COVID-19.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata menerusi tabung itu Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, khususnya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75 peratus.

“Bank Simpanan Nasional (BSN) pula akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar empat peratus.

“Di samping itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam ucapan pakej rangsangan ekonomi 2020 bertema “Memperkukuh keyakinan, merangsang pertumbuhan, melindungi pekerjaan” di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman.

“BNM akan memantau pelaksanaan dan memastikan pematuhan di kalangan institusi kewangan,” katanya.

Berita Harian X