Rabu, 26 Februari 2020 | 7:08pm
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. - Foto Aswadi Alias
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. - Foto Aswadi Alias

Siapa PM demokrasi langsung?

Buat pertama kali dalam sejarah amalan demokrasi negara, penentuan untuk jawatan Perdana Menteri dilakukan secara bersemuka dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Semua 222 Ahli Parlimen diminta hadir untuk menyatakan sokongan kepada calon Perdana Menteri yang mereka hasratkan.

Seperti kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mengadap YDPA, pertemuan secara langsung Ahli Parlimen dengan baginda sangat bermakna sehingga mengikutnya, akuan bersumpah (SD) yang dikumpulkan sebelum ini sudah lagi tidak relevan.

Perkembangan ini mengingatkan saya proses demokrasi langsung bagi memilih jawatan presiden di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia. Pengundi diberi hak memilih ketua negara. Cuma berbeza di sini, pemilihan Perdana Menteri hanya membabitkan undian Ahli Parlimen sahaja, bukan rakyat Malaysia.

Demokrasi tidak boleh dipisahkan dengan nombor. Soal jumlah undi dan kerusi seringkali membayangi pelaksanaan demokrasi. Dalam konteks penentuan Perdana Menteri juga, timbul konsep majoriti sebagai calon yang boleh dipertimbangkan.

Merujuk Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut “YDPA hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan rakyat itu”.

Jika diperhitungkan, seseorang yang boleh diangkat sebagai calon Perdana Menteri mesti menguasai majoriti ahli Dewan Rakyat, iaitu sekurang-kurangnya 112 undi. Majoriti mudah ini boleh melayakkan seseorang calon dilantik sebagai Perdana Menteri atas perkenan YDPA.

Pada peringkat awal, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat calon tunggal pilihan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. UMNO dan PAS misalnya menyatakan sokongan kepada beliau bagi menyekat peluang Anwar.

Bagaimanapun, situasi sedikit berubah apabila Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC bersama PAS menarik balik sokongan kepada Dr Mahathir kerana mendakwa kerajaan baharu yang bakal dibentuk akan membabitkan DAP.

Malah mereka mencadangkan agar Parlimen dibubarkan untuk memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu. Jika ditolak undi daripada BN dan PAS, Dr Mahathir boleh kehilangan sekurang-kurangnya 60 undi.

Perkembangan terbaru, PKR menamakan calon mereka sendiri iaitu Anwar kepada YDPA turut menghangatkan lagi perbincangan siapa calon pilihan Perdana Menteri. Tindakan ini berbeza dengan sokongan PKR sebelum ini untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Jika Anwar mendapat keseluruhan undi daripada PKR, DAP dan Amanah, beliau boleh mendapat 92 undi. Hanya kekurangan 20 undi untuk majoriti mudah. Ada juga sumber memberitahu Anwar memiliki 106 undi Ahli Parlimen dan kini perlu mendapat sokongan beberapa sahaja lagi khususnya daripada blok bebas. Namun maklumat ini tidak boleh disahkan.

Ketika tulisan ini disiapkan, kita percaya sesi pertemuan Ahli Parlimen mengadap YDPA sudah pun selesai. YDPA sudah tentu mempunyai maklumat siapakah calon Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan Ahli Parlimen.

Namun, persoalannya, apakah akan berlaku sekiranya tidak ada calon yang memperoleh undi majoriti? Apakah langkah seterusnya?

Di sinilah letaknya kebijaksaan YDPA untuk menentukan siapa calon PM yang paling layak. Satu perkara yang menarik ingin saya kongsikan ialah, adakah calon majoriti itu benar-benar mengikat keputusan yang akan diambil oleh YDPA?

Meskipun dinyatakan dalam Perlembagaan, adakah faktor majoriti menjadi satu-satunya alasan untuk YDPA melantik PM?

Jika kita mengambil kes Langkah Kajang yang berlaku pada 2014, kita boleh jadikan ia pengajaran. Apabila Pakatan Rakyat (PR) memberikan seorang nama sahaja, iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar dengan alasan mendapat majoriti kepercayaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Sultan Selangor melantik calon lain, iaitu Datuk Seri Azmin Ali.

Jika sebelum ini kita mendengar konsep ‘kerajaan tanpa DAP’ oleh BN dan PAS, Dr Mahathir dalam perutusan yang disiarkan secara langsung, menyatakan hasrat beliau untuk menubuhkan kerajaan tanpa parti (jika mendapat perkenan YDPA dilantik Perdana Menteri).

Perkara ini sangat menarik dikupas kerana sistem parti politik adalah entiti penting dalam amalan demokrasi di Malaysia. Malah, kerajaan dan pemimpin politik yang diangkat selama ini berasaskan sistem politik kepartian.

Oleh itu, kita terbiasa dengan istilah parti pemerintah dan parti kerajaan. Soalnya, mampukah kerajaan tanpa parti ini boleh dilaksanakan? Apakah kesannya terhadap sistem politik kepartian yang cukup mendominasi politik negara?

Kita masih menunggu pengumuman YDPA bagi mengakhiri kemelut politik tanah air. Perlu diingat, meskipun nombor dan angka sangat penting dalam demokrasi, ia bukanlah satu jawapan mutlak.

Dalam hal ini, YDPA juga mempunyai pilihan lain, iaitu membubarkan Parlimen jika itu lebih baik untuk menyelamatkan demokrasi di negara.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X