Rabu, 26 Februari 2020 | 1:48pm

Kabinet perpaduan penyelesaian terbaik kemelut

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang melanda negara susulan perpecahan dalam parti pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sudah berlarutan tiga hari dan belum nampak penghujungnya.

Kecuali pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim yang membolehkan kerajaan beroperasi seperti biasa, hal lain terutama pembentukan Kabinet masih menjadi tanda tanya.

Jika tidak diselesaikan segera, yang akan menanggung kesannya ialah rakyat dan negara, khususnya berikutan keadaan ekonomi yang suram akibat kejatuhan saham, nilai ringgit terus merudum, keresahan rakyat dan pelaburan akibat ketidaktentuan yang berlaku, selain kesan penyebaran COVID-19.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya satu persetujuan bersama ditunjukkan semua parti, termasuk kumpulan Ahli Parlimen Bebas, iaitu mahu Dr Mahathir meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri, kecuali gabungan BN, PAS yang meletakkan syarat.

Pertemuan Dr Mahathir dengan semua presiden parti politik dan kumpulan bebas sejak awal pagi semalam di Putrajaya menimbulkan tanda tanya apakah ada rancangan untuk membentuk kerajaan perpaduan membabitkan semua parti politik.

Sehingga semalam, Dr Mahathir sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS); Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan ketua blok bebas, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tun Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Tun Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Hari ini, Dr Mahathir dijangka bertemu Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Susulan perkembangan itu, banyak pihak tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir sedang mengusahakan penubuhan kerajaan perpaduan diwakili semua parti politik.

Beberapa pihak yang ditemui BH menyokong cadangan pembentukan kerajaan (Kabinet) perpaduan sebagai penyelesaian jangka pendek sehingga Pilihan Raya Umum (PRU).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, berkata Kerajaan Pusat membabitkan semua parti adalah formula penyelesaian kemelut politik sekarang.

Katanya, perkara itu dapat dilakukan kerana hampir semua Ahli Parlimen menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Wan Saiful Wan Jan. - Foto NSTP
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Wan Saiful Wan Jan. - Foto NSTP

“Sekiranya Dr Mahathir mendapat sokongan 100 peratus ahli Dewan Rakyat, beliau boleh melantik sesiapa sahaja daripada mana-mana parti sebagai anggota Kabinet.

“Dalam erti kata lain, sekiranya semua Ahli Dewan Rakyat menyokong beliau, maka akan terbentuk sebuah kerajaan perpaduan. Seandainya ini boleh dilakukan, saya rasa negara kita akan lebih stabil dan Kabinet baharu boleh fokus kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata pembentukan kerajaan perpaduan berupaya menterjemahkan konteks politik majmuk masa depan tanpa mengetepikan konsep kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Katanya, biarpun demokrasi memerlukan kewujudan parti politik, pelantikan anggota Kabinet tanpa dikongkong ideologi parti mampu membantu Perdana Menteri melaksanakan dasar kerajaan dengan berkesan.

“Pembentukan kerajaan perpaduan ketika ini amat sesuai, namun ia (pemilihan anggota Kabinet) harus berasaskan kebolehan individu, bukan parti,” katanya.

Bagaimanapun, pembentukan kerajaan perpaduan hanya sehingga akhir penggal ini sahaja.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut menyokong pembentukan kerajaan perpaduan, dengan syarat tidak disertai golongan kleptokrasi.

“Prinsip AMANAH jelas, kita tidak mungkin boleh menerima kleptokrat sama sekali,” katanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata pendirian parti itu jelas, iaitu pembentukan kerajaan perpaduan tidak boleh membabitkan DAP.

“Jika ada DAP, no go for UMNO (UMNO tidak mahu terbabit),” katanya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, berkata PAS bersikap terbuka menyertai pembentukan kerajaan baharu, namun syaratnya sama seperti UMNO.

“Jika kerajaan baharu masih membabitkan DAP, maka PAS tidak akan menyertainya, namun sedia menyokong kepemimpinan Dr Mahathir dari luar kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir, pula berpendapat pembentukan kerajaan tanpa pembangkang akan lebih banyak mengundang impak negatif berbanding positif.

“Pembangkang perlu ada, saya percaya seeloknya kuasa (memilih pemimpin dan kerajaan) dikembalikan kepada rakyat menerusi pilihan raya umum,” katanya.

Pakar perlembagaan dan perundangan, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata konsep kerajaan perpaduan adalah cadangan yang perlu dihormati untuk kelangsungan pentadbiran kerajaan ketika ini.

Namun, katanya, dalam sistem Perlembagaan Persekutuan, konsep itu tidak boleh dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri interim dan mencadangkan kerajaan perpaduan ditubuhkan selepas melalui PRU.

Pakar perlembagaan dan peguam kanan, Datuk Salehuddin Saidin turut menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan.

“Kerajaan perpaduan adalah penyelesaian yang baik untuk meredakan krisis ketika ini. Konsep ini akan mengelakkan wujudnya kumpulan bermusuhan sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

“Penubuhan kerajaan campuran juga akan mengurangkan ‘politiking’ dan anggota Kabinet akan fokus kepada tugas pembangunan negara, meningkatkan ekonomi, mewujudkan suasana yang lebih harmoni, aman dan damai.

“Semua parti turut sama dalam kerajaan perpaduan dan jika ada isu atau bantahan boleh disampaikan melalui wakil mereka dalam Kabinet. Perdana Menteri bebas memilih ahli Kabinetnya daripada mana-mana parti yang dirasakannya sesuai,” katanya.

Berita Harian X