KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, pagi ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara di Kuala Lumpur, pada jam 11.05 pagi tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebelum itu dilihat memasuki pintu dua Istana Negara, Kuala Lumpur, pada jam 9.45 pagi.
Turut kelihatan, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang keluar meninggalkan Istana Negara pada jam 11.20 pagi.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Yusof, meninggalkan Istana Negara.
Ahli Parlimen BERSATU yang lain tidak dapat dipastikan kehadiran mereka.
Sementara itu, Ahli Parlimen PKR kini sedang menghadap Yang di-Pertuan Agong, diketuai Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, mereka tiba di pintu dua Istana Negara menaiki sebuah bas dan diiringi 10 kenderaan, pada jam 10.40 pagi tadi.
Ketibaan kumpulan Ahli Parlimen PKR itu disambut laungan 'reformasi' daripada penyokong parti itu yang turut hadir di pekarangan Istana Negara.