Selasa, 25 Februari 2020 | 9:21pm

Bubar Parlimen bukan pilihan sesuai

KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi menyelesaikan kemelut melanda negara ketika ini bukan satu pilihan yang sesuai, tetapi adalah pilihan terbaik mengembalikan kestabilan politik dan mengembalikan suara rakyat.

Perkara itu disuarakan badan bukan kerajaan (NGO), penganalisis politik dan pakar perundangan dan perlembagaan yang mahu penyelesaian tidak berisiko tinggi dilaksanakan dalam merungkai kemelut politik ketika ini, selain perlu berdepan masalah ekonomi dan penularan wabak coronavirus COVID-19.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad berkata, pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU hanya menyebabkan suasana dalam negara menjadi huru-hara.

Katanya, keadaan ekonomi tidak berapa baik pada masa ini sedangkan kos mengadakan satu-satu pilihan raya adalah besar.

“Di peringkat kerajaan, PRU ini akan menjadi satu bebanan kerana kosnya bukan murah. Ini bukan satu langkah yang bijak tetapi satu pembaziran.

“Ia juga satu kerugian kepada pembangkang terpaksa keluar belanja besar, lagi pun untuk UMNO dan PAS, Muafakat Nasional (MN) belum lagi teruji, belum cukup ampuh yang akan menjanjikan kemenangan besar kepada gabungan berkenaan.

“Berbeza dengan Pilihan Raya Kecil (PRK), PRU membabitkan kos yang besar, kerana masing-masing perlu menjaga kawasan mereka. Masalah saya nampak dalam pengagihan kerusi sudah tentu ada pertikaian kerana ia masih belum diselesaikan UMNO dan PAS,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, memang soal wabak dan ekonomi tidak boleh dikawal kerana ia di luar kawalan kerajaan tetapi isu kestabilan politik lebih penting untuk dipertimbangkan supaya kemelut yang berlaku kini diselesaikan.

Katanya, dalam konteks pentadbiran, tidak boleh dibiar negara dalam keadaan ketidaktentuan yang pastinya memburukkan lagi politik dan ekonomi negara.

“Kestabilan negara jadi keutamaan, kita tidak boleh biarkan ia menjadi kacau bilau. Ketika ini, kerajaan yang telah dipilih rakyat pada pilihan raya lalu tidak lagi dapat bertahan, malah sudah terbubar kerana perpecahan dalam kalangan mereka sendiri apabila ada yang keluar parti dan tarik diri.

Justeru, katanya, wajarlah kembalikan mandat kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya atau kemelut diselesaikan dengan mendapatkan majoriti untuk mana-mana pihak supaya dapat mentadbir negara ini.

Pakar perlembagaan dan jurisprudens watan yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dalam suasana sekarang wajarlah dicari penyelesaian dengan mendapatkan suara majoriti supaya ada lantikan Perdana Menteri yang membolehkan beliau membentuk Kabinetnya untuk mentadbir negara ini.

“Tidak perlu fokus kepada pembubaran Parlimen lebih baik Perdana Menteri Interim dapatkan sokongan penuh daripada Dewan Rakyat.

Namun jika tiada pihak yang mendapat majoriti maka boleh digunakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri interim dan wajar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen,” katanya.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata kemelut politik yang berterusan tidak baik untuk kestabilan negara dan rakyat menjadi mangsanya.

Justeru, katanya sebaiknya dilaksanakan pilihan raya umum walaupun kos untuk mengadakannya membabitkan kos yang tinggi kira-kira RM500 juta.

“Jika kemelut berterusan, selagi itulah segala projek pembangunan dan ekonomi terganggu, jadi keadaan sekarang pada pandangan saya wajar diadakan pilihan raya. Ini demi masa depan negara jika tidak kos lebih besar ditanggung kerajaan kerana kemelut tidak selesai akibat pergeseran parti kerajaan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X