Selasa, 25 Februari 2020 | 4:56pm
Chow Kon Yeow memaklumkan pindaan Perlembagaan negeri menyatakan ahli yang bertanding atas tiket parti tertentu dan keluar parti, kerusi terbabit boleh dianggap kosong - Foto NSTP/MIKAIL ONG
Chow Kon Yeow memaklumkan pindaan Perlembagaan negeri menyatakan ahli yang bertanding atas tiket parti tertentu dan keluar parti, kerusi terbabit boleh dianggap kosong - Foto NSTP/MIKAIL ONG

ADUN BERSATU boleh hilang kerusi

GEORGETOWN: Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pulau Pinang mungkin terbatal secara automatik mengikut Perlembagaan negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata mengikut pindaan Perlembagaan negeri pada 2012, mana-mana ahli yang bertanding atas tiket parti tertentu dan keluar parti, kerusi terbabit boleh dianggap kosong.

“Saya sudah mendapatkan ulasan (nasihat) Penasihat Undang-Undang Negeri dan apabila ia berlaku, kerusi itu boleh dianggap kosong.

“Apabila ia berlaku, Speaker DUN perlu memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk adakan Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya ketika ditemui di luar perkarangan kediaman rasmi Yang di-Pertua Pulau Pinang, di Seri Mutiara, hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow tiba di Seri Mutiara kira-kira jam 3 petang, bagi mengadakan kunjungan ke atas Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Kon Yeow berkata, pertemuan selama 20 minit itu adalah bagi memaklumkan mengenai perkembangan semasa politik di Pulau Pinang, susulan pergolakan politik pada peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi peluang kerajaan Persekutuan menyelesaikan hal pentadbiran terlebih dahulu.

“Kita tidak perlu tergesa-gesa (laksanakan pengosongan kerusi). Biar apa yang berlaku di Persekutuan selesai dahulu,” katanya.

BERSATU mempunyai dua kerusi DUN di Pulau Pinang yang disandang Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam), dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Pada November 2012, bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng membentangkan pindaan Perlembagaan Negeri untuk melarang wakil rakyat melompat parti.

Pindaan itu antara lain memaklumkan, sekiranya berlaku pertukaran parti politik oleh seseorang ahli, maka kerusi ahli berkenaan akan dianggap kosong secara automatik dan Yang di-Pertua DUN perlu memberitahu kepada SPR.

Berita Harian X