Isnin, 24 Februari 2020 | 9:56pm
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) tiba di Ibupejabat BERSATU untuk menghadiri mesyuarat parti. - NSTP/Fathil Asri
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) tiba di Ibupejabat BERSATU untuk menghadiri mesyuarat parti. - NSTP/Fathil Asri

Mesyuarat tergempar BERSATU dihadiri tetamu istimewa

PETALING JAYA: Mesyuarat tergempar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam ini diadakan tanpa kehadiran bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan khas di Menara Yayasan Selangor, di sini, sebaliknya hanya dihadiri sebahagian Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) seperti Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaik ketibaan Ahli Parlimen Pagoh itu tepat pada jam 8.29 malam, ia kemudian disusuli pimpinan lain, antaranya Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Abdul Rahman; Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun dan Setiausaha Agung, Datuk Marzuki Yahya.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abul Rahman tiba di Ibupejabat BERSATU. - NSTP/Fathil Asri
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abul Rahman tiba di Ibupejabat BERSATU. - NSTP/Fathil Asri

Turut hadir, Ketua Penerangan BERSATU, Dr Mohd Radzi Jidin dan beberapa ahli MPT seperti bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof serta Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Kepemimpinan BERSATU lain yang juga hadir mesyuarat itu ialah bekas Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Difahamkan, mesyuarat tergempar yang bakal memperhalusi perkembangan semasa politik negara dan hala tuju BERSATU dipengerusikan Muhyiddin, sejak jam 9.30 malam tadi.

Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkumpul sebagai tanda memberi sokongan padu kepada pemimpin mereka. NSTP/Fathil Asri
Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkumpul sebagai tanda memberi sokongan padu kepada pemimpin mereka. NSTP/Fathil Asri

Sementara itu, media yang menanti di pekarangan utama Menara Yayasan Selangor kemudian dikejutkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham, tepat pada jam 9.38 malam.

Ketika diasak pemberita tujuan kehadirannya, Setiausaha Politik bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu sekadar menjawab, “Saya datang mesyuarat”.

Berita Harian X