Isnin, 24 Februari 2020 | 9:44am
SETIAUSAHA Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa bersama Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan kelihatan pada Mesyuarat Khas di sebuah hotel. - Foto BERNAMA
SETIAUSAHA Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa bersama Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan kelihatan pada Mesyuarat Khas di sebuah hotel. - Foto BERNAMA

UMNO terbuka dua pilihan

KUALA LUMPUR: UMNO menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong sama ada memperkenan pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu atau membubarkan parlimen.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata kedua-dua pilihan itu mendapat sokongan parti berkenaan, tetapi menegaskan keputusan yang dibuat perlu mengutamakan kepentingan rakyat.

“Dalam situasi ini kita ada dua pilihan. Pertama bubar parlimen dan kedua, bentuk kerajaan baru jika mandat mencukupi.

“Sebagai parti politik kita berpendirian, bersetuju sekiranya parlimen dibubarkan atau pilihan kedua (bentuk kerajaan baharu) kerana Pakatan Harapan (PH) runtuh, kita beri dokongan kepada PM untuk bentuk muafakat baru.

“Antara kedua-dua itu yang penting jangan rakyat jadi mangsa,” katanya dalam perkongsian di Twitter.

Annuar mendakwa penjajaran semula kerajaan ini bermula dari dalam PH sendiri apabila ada bayangan mengaitkan 14 hingga 15 Ahli Parlimen PKR dan hampir semua 25 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hilang keyakinan kepada PH.

“Hari ini UMNO memberi mandat kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk ambil apa jua langkah terbaik untuk parti dan rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera.

“Enam parti tertentu jika bersepakat mampu menstabilkan politik negara.

“Kita sudah tunaikan tangunggjawab, kini terpulang pada PM dan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Malam tadi, Annuar mendakwa gabungan PH sudah berakhir, sekali gus mengesahkan parti itu mungkin membentuk gabungan baharu dengan BERSATU dan PAS.

Beliau menjangkakan gabungan PH merangkumi BERSATU, PKR, DAP dan Parti Amanah Nasional Negara (AMANAH) mungkin berakhir.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu hantarannya di Twitter menyifatkan sebarang pembentukan kerajaan baharu yang disifatkan ‘kerajaan pintu belakang’ adalah pengkhianatan dan penderhakaan terhadap rakyat.

“Apa sahaja kerajaan ‘pintu belakang’ tanpa mandat rakyat adalah pengkhianatan besar terhadap negara dan penderhakaan rakyat kepada rakyat.

“Jangan guna kaum atau agama sebagai alasan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak turut berkata, sejarah membuktikan rakyat akan bangkit dan menghukum pengkhianat negara.

Berita Harian X