Ahad, 23 Februari 2020 | 11:29pm
Dr Wan Azizah (dua dari kanan) melawat ibunya yang dimasukkan ke hospital di ibu negara, malam ini.
Dr Wan Azizah (dua dari kanan) melawat ibunya yang dimasukkan ke hospital di ibu negara, malam ini.

Ibu TPM dimasukkan ke hospital

KUALA LUMPUR: Ibu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, iaitu Datin Mariah Khamis, dimasukkan ke hospital, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar beliau, R Sonia, selepas menyedari kehadiran wakil media yang menunggu Dr Wan Azizah di kediamannya di Kampung Segambut Dalam, di sini, sejak petang tadi.

Ia bagi mendapatkan maklum balas beliau berhubung perkembangan politik ketika ini.

"Ibu Datuk Seri dimasukkan ke hospital dan beliau melawat ibunya. Beliau hanya meninggalkan hospital pada jam 10.30 malam," katanya melalui aplikasi Whatsapp.

Terdahulu, Dr Wan Azizah dilihat meninggalkan kediamannya kira-kira jam 8.15 malam tadi.

Malam ini, satu majlis zikir, tazkirah dan solat hajat diadakan di rumah Dr Wan Azizah dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar pada majlis tazkirah itu, berkata ada cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) membabitkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan segelintir Ahli Parlimen PKR.

Berita Harian X